Skip to main
Logo Malaysiakini

Wabak koronavirus 'selamatkan' wanita dari dirogol

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

GLOBAL | Ketika novel koronavirus mengancam nyawa lebih 20,000 orang yang dijangkiti virus itu di China, ia juga nampaknya menjadi 'senjata' untuk menyelamatkan maruah seorang wanita.

Dalam kejadian di daerah Pingba yang terletak di Jingshan, Hubei itu seorang wanita - dikenali sebagai Yi Yimou - berdepan saat mencemaskan apabila rumahnya diceroboh seorang lelaki kira-kira jam 8 malam.

Menurut polis, lelaki terbabit - yang dikenali sebagai Xiao Mou - memecah masuk rumah Yi dengan tujuan mahu memperkosa wanita terbabit yang ketika itu bersendirian di rumahnya.

Kata jurucakap polis Jingshan, suspek itu memasuki rumah Yi dengan memecahkan tingkap kaca sebelum menyelinap ke atas katil mangsa.

Apabila kehadirannya disedari Yi, kata polis, Xiao mencekik dan menutup mulut mangsa.

"Ketika itu Yi berusaha melepaskan diri dan mendapat idea untuk menakutkan penyerang terbabit dengan berpura-pura batuk teruk.

"Tindakan Yi itu menyebabkan suspek ragu-ragu. Lelaki terbabit kemudian melarikan diri selepas Yi mendakwa kononnya baru-baru ini berkunjung ke Wuhan dan mengalami beberapa simptom koronavirus," katanya seperti dipetik Daily Telegraph.

Asalnya mahu mencuri

Menurut polis sebelum keluar ketakutan dari rumah Yi, lelaki terbabit sempat mengambil wang mangsa sebanyak 80 yuan (RM47) namun tercicir beg serta telefon genggam yang dibawanya.

Untuk rekod Pingba adalah antara daerah dalam Hubei dan terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari ibu negeri wilayah itu, Wuhan.

Polis yang menjalankan siasatan berdepan kesukaran untuk mengesan suspek kerana hampir semua orang mengenakan topeng bagi mengelak dijangkiti virus Wuhan.

Bagaimanapun nasib menyebelahi pihak berkuasa apabila suspek dibawa bapanya untuk menyerah diri di balai polis.

Ketika disoal siasat Xiao, 25, mengaku keluar dari rumahnya tanpa sebarang wang dan berniat untuk mencuri.

Namun selepas menceroboh rumah Yi, nafsunya terangsang dan bercadang untuk memperkosa wanita terbabit.