Polis akan panggil Musa isu kaitkan DAP dengan komunis
Polis akan mengambil keterangan bekas ketua polis negara Musa Hassan berhubung dakwaan mengaitkan DAP dengan Parti Komunis Malaya (PKM).
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata ia bagi membantu siasatan polis susulan beberapa laporan polis yang dibuat berkenaan perkara itu.
"Kita ada menerima laporan dan bahagian siasatan jenayah akan mengumpulkannya dan mengambil tindakan terhadap siapa yang terlibat.
"Kita akan analisa kandungan video rakaman itu sama ada mengandungi unsur-unsur menghasut dan fitnah atau tidak," katanya seperti dipetik Sinar Harian, sambil menambah langkah itu adalah prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan polis terhadap sebarang kes.
Musa didakwa berbuat demikian ketika bercakap dalam forum bertajuk "Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?" yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Rakaman ucapannya disebarkan di media sosial.
Dalam ucapannya, Musa antara lain berkata DAP telah menerbitkan buku untuk menyalahkan orang Melayu untuk peristiwa 13 Mei, serta cuba "membasuh" orang golongan muda Melayu dalam isu itu.
Berkenaan sambutan ulang tahun ke-30 Perjanjian Hat Yai yang diadakan di Selangor pada Disember lalu, Musa berkata ia sebagai percubaan menghidupkan semula ideologi komunis.
Pada 1 Februari lalu, Ketua Pemuda DAP Howard Lee dalam kenyataan membidas Musa yang menurutnya menyalahgunakan kedudukan sebagai bekas ketua polis negara dengan menyebarkan “cerita khayalan mengikut rentak tuan politiknya" sambil menyifatkan ia sebagai "fitnah yang sering dibangkitkan."
“Sebagai peringatan, bekas pengerusi PKM, Abdullah CD - yang masih hidup dan bermastautin di selatan Thailand - dalam satu wawancara media pada Dis tahun lalu menafikan kaitan DAP dengan komunis," katanya.
Beliau juga ketika itu berkata pihaknya akan membuat laporan polis terhadap Musa.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai