Skip to main
Logo Malaysiakini

3 jawatan utama Bersatu dijangka tak dicabar

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tiga jawatan utama dalam Bersatu dijangka tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan parti itu di pada Jun ini.

Menurut setiausaha agungnya, Marzuki Yahaya, perkara itu dipersetujui oleh Bersatu semua negeri selepas mereka bermesyuarat petang tadi.

"Sampai hari ini kita dah ada satu keputusan... sebagai parti baru memang kita minta pendirian semua kepemimpinan bahagian dan negeri untuk beri sokongan penuh kepada pimpinan kita (iaitu) pengerusi (Dr Mahathir Mohamad), presiden (Muhyiddin Yassin) dan timbalan (Mukhriz Mahathir).

"Dan hari ini saya dapat laporan, memang semua negeri di seluruh Malaysia memberi sokongan kepada tiga jawatan utama.. supaya jawatan tersebut tidak dipertandingkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bersama setiausaha parti negeri-negeri di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Bagaimanapun, kata Marzuki, isu mengenai tiada sesiapa yang mencabar untuk tiga jawatan tertinggi parti hanya akan dapat diputuskan oleh jawatankuasa pemilihan parti (JPP).

Bersatu akan mengadakan mesyuarat agung tahunan dan serentak dengan pemilihan parti ‪pada 20 Jun‬ depan, manakala persidangan dan pemilihan di peringkat cawangan ditetapkan antara 25 Feb hingga ‪1 Mac‬, diikuti peringkat bahagian ‪pada 4 April‬.

Sementara itu, bantahan kepada jawatankuasa pemilihan berkuat kuasa sehingga 14 Februari ini sekiranya ada isu berbangkit.

Marzuki yang juga merupakan Timbalan Menteri Luar berkata Bersatu juga digugurkan 50 keanggotan daripada 381,811 ahli yang berdaftar sehingga 31 Dis 2019.

Katanya, antara faktor pengguguran itu ialah, individu terbabit mempunyai dua keahlian parti atau mensabotaj parti ketika pilihan raya umum lalu.

Namun, katanya tiada nama-nama besar yang berada dalam senarai tersebut.