Skip to main
Logo Malaysiakini

PBAPP sokong gesaan lindung Sg Muda dengan segera

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyambut baik gesaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melindungi Sungai Muda sebagai "sungai strategik".

CEO PBAPP Jaseni Maidinsa berkata idea pengerusi SPAN Charles Santiago agar kawasan seluas 30 meter di tebing sepanjang 203 kilometer sungai itu dijadikan kawasan larangan masuk adalah "permulaan yang baik."

Menyokong penuh gesaan Santiago, Jaseni mencadangkan lima tindakan utama yang harus dilakukan untuk perlindungan penuh sungai itu.

“Rondaan yang kerap, pemeriksaan dron secara berkala, papan tanda amaran, mendidik dan memaklumkan pemilik tanah sungai, dan penguatkuasaan secara tegas peraturan dan undang-undang perlindungan sungai.

“Kami setuju dengan SPAN bahawa perlindungan Sungai Muda harus dianggap serius sebagai isu keselamatan awam dan bekalan air,” katanya dalam kenyataan.

 Beliau berkata penemuan tapak pembuangan sampah haran kedua di tebing sungai itu perlu dianggap sebagai amaran untuk pihak bertanggungjawab untuk bertindak segera.

Semalam, Santiago bersama wakil daripada Jabatan Alam Sekitar dan Solid Waste Corporation -entiti bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan- melawat bekas lombong pasir 1.21 hektar (3 ekar) di Kampung Belinda Kuala Ketil, Kedah.


BacaSPAN: Selamatkan Sg Muda dari pencemaran, isytihar jadi 'sungai strategik'


Santiago berkata, kawasan itu kini dipenuhi dengan sampah dan berisiko mengancam kesihatan penduduk memandangkan peranannya sebagai sumber bekalan air.

Sebelum itu kerajaan Kedah menutup tapak pembuangan sampah haram berkeluasan dua hektar pada Julai lalu, yang didapati menjadi tempat pembuangan sampah dari seluruh dunia.

 Jaseni berkata tapak pembuangan sampah haram di sepanjang Sungai Muda adalah ancaman "langsung dan bahaya" kepada bekalan air di Pulau Pinang dan kawasan selatan Kedah.

Ia kerana sungai itu adalah sumber air mentah utama untuk kawasan itu dengan 80 peratus air mentah Pulau Pinang diambil dari situ, katanya lagi.

“Air mentah kemudian dirawat di Pusat Rawatan Air Mentah Sungai Dua (Sungai Dua WTP) dan diagihkan kepada pengguna di Pulau Pinang.

“Jika air mentah dari Sungai Muda didapati tercemar oleh bahan kimia, itu akan mendatangkan masalah besar.

“PBAPP akan terpaksa hentikan pengambilan air mentah dari Sungai Muda, demi melindungi kesihatan awam,” katanya.

 Jaseni berkata, langkah kecemasan itu akan menyebabkan gangguan bekalan air di seluruh Pulau Pinang.

Katanya lagi, keadaan sama akan berlaku di bahagian selatan Kedah.

“Kesemuanya, berjuta rakyat dan perniagaan tidak akan mendapat bekalan air. Oleh itu, semua tapak pembuangan sisa di Sungai Muda mesti ditutup dan usaha harus diambil untuk mencegah pembuangan sampah secara haram di sepanjang tebing sungai,” katanya.

Jaseni berkata PBAPP tiada kuasa untuk mengambil tindakan di Kedah.

Namun, beliau berkata pihaknya sedang meneliti mutu air mentah yang diambil dari Sungai Muda setiap hari.

atanya, makmal pusat PBAPP di Sungai Dua WTP dalam keadaan berjaga-jaga dan akan terus memeriksa sampel air mentah setiap hari.

“Setakat ini, mutu air yang dirawat di Sungai Dua WTP didapati bersih dan selamat.

“Rawatan air PBAPP akan terus mengikut parameter Program Jaminan Kualiti (QAP) oleh Kementerian Kesihatan,” katanya lagi.