Koronavirus: 74 kontak rapat rakyat Malaysia positif dikenal pasti
Sejumlah 74 orang telah dikenal pasti melalui pengesanan kontak susulan kes pertama rakyat Malaysia dijangkiti novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 35 kontak rapat telah dikesan dan sampel telah diambil daripada mereka.
"Selepas itu, kesemua kontak rapat ini akan diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan dengan segera,” katanya semasa taklimat harian kepada media mengenai kemas kini 2019-nCoV, Putrajaya hari ini.
Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan bahawa seorang lelaki berusia 41 tahun dari Selangor menjadi rakyat Malaysia pertama yang dijangkiti 2019-nCoV.
Dilaporkan bahawa mangsa telah melakukan perjalanan ke Singapura untuk menghadiri satu persidangan dengan delegasi antarabangsa, termasuk dari China.
Dzulkefly berkata pengesanan kontak sedang dijalankan buat masa ini dan orang ramai akan dimaklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa.
Beliau berkata semua kontak rapat itu akan dipantau dengan teliti oleh kakitangan Kementerian Kesihatan.
"Jika mereka mengalami sebarang gejala atau sampel diuji positif, mereka akan dimasukkan ke hospital dengan segera," katanya.
Ditanya sama ada kerajaan akan mendedahkan sejarah perjalanan mereka yang dijangkiti seperti yang dilakukan di Singapura, Dzulkefly berkata, kementerian melakukan pengesanan kontak dengan teliti dan perkara itu adalah dalam pengetahuan mereka.
"Bagaimanapun, sama ada kita ingin mendedahkannya atau tidak bergantung kepada kepentingan dan kesannya kepada orang ramai.
"Kami telus dari hari pertama dan akan kekal dengan prosedur serta etika seperti itu," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai