Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari ke-2: Rosmah hantar mesej, percepat projek - Mahdzir

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Perbicaraan rasuah terhadap isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, berhubung dakwaan penyelewengan dana bagi pembekalan dan pemasangan tenaga solar melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak bersambung hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung:


2.04 petang - Prosiding hari ini ditangguhkan dan perbicaraan bersambung pada hari Isnin depan.


Rosmah hantar mesej, percepat projek hibrid solar - Mahdzir

1.47 tengah hari - Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid memberi keterangan bahawa Rosmah Mansor menghantar mesej kepadanya meminta beliau mempercepatkan projek hibrid solar.

Saksi pendakwaan kelima berkata daripada apa yang difahami mengenai mesej itu, beliau (Rosmah) memintanya untuk mempercepatkan projek berkenaan dan ini memperkuatkan kepercayaan menteri pendidikan ketika itu bahawa Rosmah berada dalam 'pasukan Saidi'.

"Saya rasa, Rosmah sebagai isteri perdana menteri (Najib Razak) dan mempunyai kuasa, beliau mahu projek itu untuk dipercepat," kata Mahdzir.

Saidi atau Saidi Abang Samsudin kemudiannya menjadi pengarah urusan Jepak Holdings, yang dianugerahkan projek hibrid solar di Sarawak.


Pelobi beri amaran Mahdzir tak kekal lama jadi menteri pendidikan

1.30 tengah hari - Mahkamah mendengar keterangan bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid bahawa keputusannya untuk tidak menuruti perintah perdana menteri Najib Razak ketika itu mengenai projek hibrid solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak pada tahun 2016 telah menyebabkan Jepak Holdings tidak berpuas hati.

Mahdzir berkata tidak lama selepas beliau meluluskan cadangan kementerian pendidikan untuk memberi syarikat itu melaksanakan projek perintis terhadap inisiatif berkenaan, pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin dan rakannya, Rayyan Radzwill Abdullah telah bertemu dengannya untuk menyuarakan kejengkelan mereka.

Mahdzir mendakwa bahawa Saidi dan Rayyan telah memberitahunya bahawa mereka akan membawa perkara itu kepada perdana menteri.

Rayyan juga didakwa pergi ke Mahdzir amaran bahawa dia "tidak akan lama" di kementerian pendidikan kerana tidak mengikuti perintah Najib.

Mahdzir berkata pada bulan Jun 2016, beliau telah menerima satu lagi arahan daripada Najib, dalam bentuk satu minit memberitahu menteri pendidikan itu untuk melaksanakan projek hibrid solar seperti yang telah diarahkannya sebelum ini.


Rizal Mansor soal menteri pendidikan keputusan projek pada 2016

1.25 tengah hari - Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid berkata pada Mei 2016, beliau telah meluluskan beberapa cadangan oleh jawatankuasa teknikal Kementerian Pendidikan mengenai projek hibrid solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak.

Cadangan itu termasuk meletakkan Jepak Holdings tertakhluk kepada beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum projek itu diberikan kepada syarikat tersebut dan kontrak yang diberikan merupkan projek perintis terlebih dahulu.

Menurut Mahdzir, beliau telah bersetuju dengan cadangan berkenaan kerana syarat-syarat itu antara lainnya akan menguji kemampuan Jepak dalam memenuhi kontrak.

Bagaimanapun, tidak lama selepas beliau meluluskan cadangan itu, Mahdzir berkata beliau telah menerima panggilan telefon daripada Rizal Mansor, pada waktu itu pembantu kepada Rosmah Mansor.

Mahdzir berkata Rizal mempersoalkan mengapa beliau memutuskan untuk memberi projek perintis kepada Jepak, ketika Perdana Menteri Najib Razak telah mengarahkannya untuk melaksanakan projek hibrid solar untuk menggantikan sistem penjanaan elektrik sedia ada untuk sekolah-sekolah di Sarawak.

"Dia juga mempersoalkan keputusan untuk menamatkan kontrak sekolah yang akan dihubungkan dengan grid tenaga," kata Mahdzir memberi keterangan.

Pemimpin Umno itu berkata kemudian Mahdzir memberitahu Rizal bahawa keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa teknikal kementerian beliau hanya meluluskannya.


MD Jepak mengaku kawan lama Mahdzir untuk nak dapat projek hibrid

1.07 tengah hari - Mahkamah Tinggi mendengar Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin mengaku dirinya 'kawan lama' kepada menteri pendidikan ketika itu, Mahdzir Khalid untuk memastikan projek hibrid solar dianugerahkan kepada syarikat itu, Mahkamah Tinggi mendengar keterangan saksi.

Saksi pendakwaan ke-5 Mahdzir mengatakan ini semasa pemeriksaan utama oleh DPP Idham Abd Ghani.

Projek solar hibrid di Sarawak adalah aspek utama tiga tuduhan rasuah yang dihadapi oleh Rosmah Mansor.

Mahdzir memberi keterangan semasa Idham menunjukkan gambar mesej Whatsapp antara saksi dan Saidi.

Idham: Bolehkah saya memaparkan mesej teks antara Datuk (Mahdzir) dan Saidi, di mana anda berkata Saidi meminta bantuan anda untuk dianugerahkan projek itu?

Mahdzir: Antara yang saya boleh katakan, antara mesejnya adalah: "YB, saya masih di KL. Tolong segera bantu saya sebagai kawan lama, untuk luluskan projek hibrid solar."


Mahdzir kata dapat arahan Najib laksana projek hibrid solar

12.50 tengah hari - Mahkamah mendengar keterangan bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid bahawa pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin telah bertemu dengannya pada tahun 2015.

Pada waktu itu, kata Mahdzir mereka membincangkan rancangan syarikat untuk memperkenalkan sistem hibrid solar untuk menghasilkan elektrik untuk 369 sekolah di Sarawak.

Menurut saksi pendakwaan kelima, kelihatan baginya bahawa Saidi merancang untuk mengambil alih sistem elektrik genset janakuasa diesel sedia ada di sekolah-sekolah yang sedang dikendalikan oleh beberapa kontraktor.

Mahdzir berkata sebagai menteri pendidikan ketika itu beliau telah menolak cadangan Jepak kerana masih mempunyai kontrak yang berterusan dengan kontraktor, selain mempunyai keraguan terhadap kemampuan Jepak Holdings untuk mengendalikan projek besar itu.

Bagaimanapun, pada Disember 2015, menteri itu menerima surat yang diminitkan oleh perdana menteri Najib Razak, yang mana beliau mengarahkan Mahdzir untuk melaksanakan rancangan Jepak Holdings.

Minit itu ditulis pada surat daripada Jepak Holdings kepada Najib bertarikh 23 Nov 2015, dengan berkata: "Bersetuju dilaksanakan sistem baru ini dan batalkan sistem lama."


Mahdzir Khalid jadi saksi pendakwaan kelima

12.35 tengah hari - Prosiding bersambung selepas rehat singkat dengan saksi pendakwaan kelima, bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid masuk ke kandang saksi.


12.15 tengah hari - Prosiding berehat sebentar selepas saksi pendakwaan keempat, Shamsul Rizal Mansor menggulung testimoninya dan dilepaskan dari kandang saksi.


Pembelaan, pendakwaan tikam lidah soalan warna beg, hitam atau oren

11.48 pagi - Pihak pendakwa dan pertahanan Rosmah Mansor mendapat pertuturan lisan atas kenyataan 'soalan yang mengelirukan'.

Peguam bela Jagjit Singh membantah kenyataan DPP Mohamad Mustaffa P Kunyalam bahawa pasukan pembelaan itu bertanyakan "soalan yang mengelirukan".

Kenyataan itu datang apabila peguam bela Akberdin Abdul Kader menyoal kesahihan saksi pendakwaan keempat, Shamsul Rizal Sharbini mengenai warna dua buah beg itu, sama ada hitam atau oren.

Terdahulu, Shamsul telah memberi keterangan bahawa dia meletakkan dua beg hitam di atas sofa hijau di sebuah rumah di Langgak Duta.

Akberdin menyoal Shamsul atas percanggahan yang dikatakannya dalam pernyataan saksi ketika dia menggunakan perkataan "oren" bukan hitam untuk kedua-dua beg itu.

Shamsul kemudian menjawab bahawa beg itu kebanyakannya berwarna hitam dengan sedikit warna oren.

Mustaffa kemudian bangun dan berkata saksi menyebutnya hitam, dan memberitahu mahkamah bahawa soalan pembelaan itu adalah "soalan yang mengelirukan" (mislead).

Jagjit kemudian menegaskan bahawa soalan Akberdin tidak mengelirukan dan berkata "dengar bos anda" sambil menunjukkan Ketua Pendakwaan DPP Gopal Sri Ram.

Apabila keadaan kembali tenang, Akberdin meneruskan pemeriksaan balas terhadap Shamsul, yang pernah menjadi pemandu peribadi kepada pengarah urusan Jepak Holdings Saidi, Abang Samsudin.


Peguam Rosmah soal saksi bukti kerja pemandu pengarah

11.15 pagi - Pasukan pertahanan mengambil alih pemeriksaan terhadap saksi keempat pendakwaan, Shamsul Rizal Sharbini, yang pernah menjadi pemandu peribadi kepada pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Peguam bela Akberdin Abdul Kader memulakan pemeriksaan balas terhadap Shamsul dengan mempersoalkan kesahihan tuntutannya bahawa dia pernah bekerja sebagai pemandu Saidi.

Ini termasuk soalan, jika Shamsul mempunyai sebarang perjanjian pekerjaan untuk ditunjukkan kepada mahkamah, atau apa-apa bukti yang Saidi telah menyumbang caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso).

Akberdin: Soalan saya yang berikut. Kamu beri penjelasan panjang lebar berkenaan tempat kamu kerja, kamu jadi

Ada apa-apa bukti untuk kamu tunjuk yang kamu ini pemandu Encik Saidi? Ada perjanjian pekerjaan?

Shamsul: Tidak ada, sekarang tak ada.

Akberdin: Dan kamu juga tak tunjuk apa-apa bukti Saidi ada bayar KWSP, Socso bagi kamu?

Shamsul: Tak ada.


Peguam Rosmah bantah pendakwaan 'bicara serang hendap'

11.07 pagi - Peguam bela Rosmah Mansor, Jagjit Singh, membantah soalan dalam pemeriksaan utama terhadap saksi, menyamakannya dengan "perbicaraan dengan serangan hendap".

Jagjit menimbulkan bantahan apabila DPP Mohamad Mustaffa P Kunyalam menyoal saksi pendakwaan keempat Shamsul Rizal Sharbini dengan soalan tambahan dalam pemeriksaan utama.

Mustaffa menyoal Shamsul mengenai kedua-dua beg yang didakwa dibeli oleh pengarah urusan bekas pengerusi Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Terdahulu, Shamsul, yang memberi keterangan sebagai bekas pemandu Saidi, memberitahu mahkamah antara lainnya bahawa beg itu dibeli dan dibawa ke Maybank.

"Ini (isu yang dipertikaikan dibangkitkan oleh Mustaffa) tiada dalam pernyataan saksi (Shamsul), ini adalah perbicaraan dengan serangan hendap. Ia tidak sepatutnya begitu," hujah Jagjit.

"Tujuan soalan tambahan adalah untuk menjelaskan sebarang butiran atau kesilapan.

"Anak guam saya diperangkap oleh perbicaraan dengan serangan hendap," kata Jagjit yang memohon pertimbangan hakim atas bantahannya.

Ketua DPP Gopal Sri Ram kemudian memberitahu Jagjit untuk "jangan teruja", mencetuskan tawa dari galeri awam.

Kemudian, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata bahawa soalan Mustaffa cuma bertanya Shamsul, antara lainnya di mana dia diambil oleh SPRM.

Zaini kemudian menolak bantahan dan mengarahkan Mustaffa untuk meneruskan soalan tambahan dalam pemeriksaan utama.


10.59 pagi - Saksi pendakwaan keempat Shamsul Rizal Sharbini selesai membaca pernyataan saksi dan menandatangani dokumen itu.

DPP Mohamad Mustaffa P Kunyalam kemudian meminta soalan tambahan kepada saksi sebagai sebahagian daripada pemeriksaan utama.


Najib diperintah keluar mahkamah dalam bicara kes Rosmah

10.45 pagi - Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas perdana menteri Najib Razak meninggalkan mahkamah di mana isterinya, Rosmah Mansor, sedang menghadapi perbicaraan bagi kes rasuah projek solar.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan mengeluarkan perintah itu selepas DPP Ahmad Akram Gharib menimbulkan bantahan terhadap kehadiran Najib di galeri awam.

"Saya minta maaf tetapi saya perlu meminta kepada anda (Najib) untuk mengundurkan diri anda (dari mahkamah)," kata Zaini kepada Najib yang berada di galeri awam.

Najib kemudian menjawab "okay" dan dengan tenang bangun dan keluar meninggalkan mahkamah.

Terdahulu, Akram membantah kehadiran Najib kerana beliau adalah saksi yang berpotensi dalam perbicaraan Rosmah.

"Dalam kes ini, kenyataan Najib direkodkan, beliau adalah saksi yang berpotensi," Akram memberitahu mahkamah.

Walau bagaimanapun, peguam Rosmah Akberdin Abdul Kader berkata Najib juga berada di mahkamah untuk perbicaraan Rosmah semalam.

Zaini kemudian memaklumkan dia tidak menyedarinya semalam dan kemudian memerintahkan Najib keluar.


Lepas ke bank, pemandu lihat pembantu Rosmah jumpa pengarah Jepak

10.30 pagi - Bekas pemandu peribadi pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin memberi keterangan bahawa pada akhir 2016, dia telah memandu bosnya dan seorang rakannya ke cawangan Maybank di Kuala Lumpur di mana kedua-duanya kemudian mengeluarkan dua beg yang kelihatan berat.

Menurut Shamsul Rizal Sharbini, yang merupakan saksi pendakwaan keempat, beg itu dibeli pada hari yang sama dari sebuah kedai di Kompleks Pertama dan dibawa ke bank. Ia kelihatan kosong ketika dibawa ke bank.

Katanya, selepas Saidi dan rakannya, yang dikenalpasti sebagai Razak, meletakkan bei itu di dalam ruang bagasi kenderaan, mereka duduk di dalam kenderaan. Pada ketika itu, seorang lelaki yang memiliki senjata api memasuki kenderaan tersebut dan duduk bersama mereka.

Walau bagaimanapun, tidak seorang pun daripada ketiga-tiga termasuk Saidi tahu siapa lelaki itu.

Shamsul memberitahu mahkamah bahawa Saidi kemudian mengarahkannya memandu ke Pavilion dan mereka berhenti di lobi sebuah bangunan berhampiran pusat membeli-belah di Bukit Bintang itu. Ketika itu kira-kira waktu tengah hari.

Pada masa inilah, saksi melihat Rizal Mansor, bekas pembantu Rosmah Mansor.

"Saidi memberitahu saya untuk mengambil kedua-dua beg dari ruang bagasi kenderaan itu. Saya telah mengeluarkannya satu demi satu dan membawanya masuk ke dalam bangunan.

"Saya terpaksa membawa beg itu satu demi satu kerana setiap satunya agak berat dan saya tidak dapat membawa keduanya sekaligus.

"Selepas itu, saya melihat Rizal Mansor berdiri di lobi," katanya.

Shamsul berkata bahawa dia tidak melihat apa yang berlaku seterusnya kerana dia pergi meletak kenderaan itu, dan ketika dia dipanggil untuk mengambil Saidi dan Razak tidak lama kemudia, dia pergi ke lobi dan berhenti di belakang sebuah Toyota Vellfire.

Di sana, dia melihat kedua-dua beg itu telah berada di dalam ruang bagasi sebuah kenderaan Vellfire. Bagaimanapun, Shamsul berkata dia tidak ingat nombor plat atau melihat siapa yang meletakkan barang di dalam Vellfire itu.


10.08 pagi - Saksi pendakwaan keempat Shamsul Rizal Sharbini tampil memberi keterangan untuk pemeriksaan utama oleh DPP Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Beliau ialah pemandu Saidi Abang Samsudin, bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.

10.06 pagi - Rosmah Mansor kelihatan duduk di kandang tertuduh ketika prosiding bermula.


9.54 pagi - Tertuduh Rosmah Mansor masuk ke bilik Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengambil tempat di barisan hadapan galeri awam.

Turut kelihatan sementara menunggu prosiding mahkamah bermula ialah peguam belanya Azrul Zulkifli Stork, Jagjit Singh, Akberdin Abdul Kader dan anggota pembelaan lain, serta DPP Ahmad Akram Gharib dan timbalan pendakwaraya lain.


Pada 3 Februari lalu, Rosmah tidak hadir pendengaran hari pertama yang sepatutnya dijadualkan berlangsung kerana tidak sihat, malahan pada sebelah malamnya isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu dimasukkan ke hospital.

Perbicaraan kes Rosmah yang dikenakan tiga pertuduhan rasuah melibatkan ratusan juta ringgit dijangka akan bermula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan sekitar jam 10 pagi ini.

Hari pertama perbicaraan semalam bermula dengan peguam bela Rosmah, Jagjit Singh mengadu kepada mahkamah bahawa doktor yang merawat Rosmah ketika di hospital berasa terancam.

Jagjit mendakwa SPRM dalam siasatannya melakukan intimidasi terhadap doktor itu kerana memperakui tertuduh tidak layak menghadiri perbicaraan pada hari Isnin dan meminta hakim Mohamed Zainal Mazlan memastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi.

Bagaimanapun, pendakwa utama, Gopal Sri Ram berkata doktor bebas membuat laporan polis jika beliau berasa terancam.

Hakim mengatakan ia berada di luar bidang kuasa mahkamah untuk bertindak seperti yang diminta oleh peguam bela.

Ketua pendakwaraya dan bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram dalam kenyataan pembukaan pendakwaan, menyifatkan Rosmah sebagai seorang dengan "sikapnya yang suka mengarah, dia mempunyai pengaruh yang besar" meski pun tidak mempunyai kedudukan rasmi.

Semalam saksi pendakwaan ketiga, pegawai Maybank, Azimah Aziz yang memberitahu mahkamah mengenai bagaimana pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin mengeluarkan sejumlah RM6.5 juta dalam nota RM100, antara 20 Disember 2016 dan 7 Sept, 2017.

Jumlah ini didakwa diterima oleh Rosmah sebagai rasuah berhubung dua pertuduhan daripada tiga dakwaan yang dikenakan terhadapnya.

Terdahulu dalam prosiding semalam, saksi pendakwaan pertama, Huzairi Zainal Abidin, yang merupakan pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO), memberi keterangan bahawa Bahagian Wanita Pertama Malaysia (FLOM) yang kontroversi ditubuhkan atas arahan lisan semata-mata.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan meminta suapan berjumlah RM187.5 juta serta menerima RM1.5 juta bagi projek pembekalan tenaga solar di sekolah di pedalaman Sarawak.

Dalam pertuduhan pertama, beliau dituduh secara tidak jujur meminta suapan bagi dirinya sebanyak RM187,500,000, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak projek solar itu daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Beliau dituduh membuat kesalahan itu melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor (gambar, bawah).

Ia merupakan dorongan bagi membantu Jepak Holdings mendapat tender secara terus daripada Kementerian Pendidikan bagi Projek Integrasi Sistem Solat Fotovoltaik Hibrid dan Penyelenggaraan, serta Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, bernilai RM1.25 bilion.

Bagi pertuduhan kedua pula, Rosmah dituduh secara tidak jujur, menerima RM1,500,000 untuk dirinya dari Saidi atas tujuan sama di ‪No. 11, Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬ pada 7 September 2017.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 -tertakluk mana lebih tinggi- jika sabit kesalahan.

Pada 10 April 2019, Rosmah dituduh sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menerima suapan RM5 juta dari Saidi melalui Rizal untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.