E-dompet mudahkan ibu bapa pantau wang saku anak
Jimat masa, selamat dan mudah; menjadi antara faktor yang mendorong Rohaizi Yusuf, 42, dari Taman Sri Manir, menggunakan kemudahan aplikasi e-Wallet sebagai medium penyaluran wang saku buat anak perempuannya, Nur Faqihah Zulkifli, 16.
Rohaizi berkata beliau mula berminat untuk menggunakan kaedah itu selepas membaca pelbagai informasi menarik di media massa dan laman sosial yang mempromosikan kelebihan penggunaannya.
Sejak itu beliau dan suaminya, Amri Mustaffa, 45, mula beralih daripada penggunaan e-debit kepada penggunaan e-dompet yang lebih mudah, selamat dan memudahkannya memantau perbelanjaan seharian anaknya hanya melalui telefon.
“Saya galakkan dia (Nur Faqihah) menggunakan e-dompet kerana lebih kaedah ini lebih selamat dan tiada risiko kehilangan wang. Lagipun senang saya nak pantau ke mana duit itu dibelanjakan kerana semua perbelanjaan direkodkan dalam telefon," katanya kepada Bernama ketika tinjauan di Kuala Terengganu, hari ini.
Tambah Rohaizi lagi pengunaan e-dompet juga sangat menguntungkan mereka sekeluarga kerana banyak syarikat menawarkan pulangan balik (cash back) untuk setiap perbelanjaan, seperti stesen minyak yang menawarkan pulangan balik RM5 untuk setiap pelanggan yang mengisi minyak RM40 ke atas dan kedai penjagaan diri yang turut menawarkan nilai pulangan balik yang berbaloi.
"Saya rasa rugi besar jika kita tidak memanfaatkan kemudahan yang disediakan untuk meningkatkan kualiti hidup. Saya sebenarnya rasa ralat juga kerana tidak menggunakan aplikasi ini lebih awal kerana sepatutnya lebih banyak pulangan balik yang saya boleh dapat," katanya yang turut mempromosikan penggunaan e-dompet kepada kaum keluarga lain.
Seorang penjawat awam, Mohd Hasanul Malik Mohd Rauf, 54, dari Kampung Mengabang Tengah pula berkata beliau mula menggunakan e-dompet selepas dinasihatkan anak lelakinya, Muhammad Rushdan Faris yang menuntut di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Menurut Mohd Hasanul Malik setiap bulan beliau akan menambah wang ke dalam e-Wallet milik Muhammad Rushdan Faris untuk perbelanjaan seharian.
"Sebelum ini saya menggunakan transaksi secara atas talian untuk menghantar wang, tetapi pernah suatu ketika kad debitnya hilang dan dia terpaksa meminjam dengan rakan untuk berbelanja kerana tidak boleh mengambil wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
"Sejak itu saya memilih untuk memasukkan lebih banyak wang ke dalam e-dompet miliknya berbanding akaun bank kerana di bandar besar seperti Pulau Pinang penggunaannya sudah meluas. Banyak kedai makan, kedai runcit dan sebagainya yang menyediakan perkhidmatan bayaran melalui cara tersebut," katanya.
Bagaimanapun Mohd Hasanul Malik berkata antara kelemahan penggunaan e-dompet ialah aspek keselamatan sekiranya telefon berkenaan hilang dan digunakan oleh orang lain.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai