Skip to main
Logo Malaysiakini

MATTA harap pakej rangsangan lebih besar

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berharap kerajaan akan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi lebih besar untuk membantu sektor yang terjejas ekoran jangkitan novel koronavirus 2019.

Pada 2003, kerajaan melaksanakan pakej ekonomi bernilai RM8.1 bilion untuk membantu mengurangkan kesan berikutan wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS) manakala pada 2009 pakej rangsangan RM60 bilion diumumkan bagi mengharungi kelembapan ekonomi global.

“MATTA berharap pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan tidak lama lagi akan melebihi pelan pertumbuhan RM8.1 bilion yang telah dilaksanakan pada 2003 atau pakej rangsangan RM60 bilion yang diumumkan pada 2009,” kata Presiden, Datuk Tan Kok Liang dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MATTA bersama-sama pihak berkepentingan industri utama telah mengadakan beberapa perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan; Kementerian Kesihatan dan Tourism Malaysia untuk mewujudkan strategi dalam menangani kemerosotan mengejut dan ketara angka perjalanan ke Malaysia berikutan koronavirus.

MATTA telah mencadangkan langkah pemulihan yang bersifat berpandangan jauh, katanya.

Beliau berkata ia termasuk peningkatan promosi dan inisiatif pemasaran bagi pelancongan domestik dan ke dalam negara, mengurangkan kriteria dan keperluan untuk geran padanan di bawah Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN Malaysia).

Beliau berkata MATTA juga mencadangkan semakan semula kadar Cukai Pelancongan (TTX) untuk menggalakkan lebih ramai pelancong memilih Malaysia sebagai destinasi percutian utama.

Tan berkata pelbagai kementerian turut boleh mengurangkan atau mengecualikan caruman dan cukai seperti yang diwajibkan, contohnya bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Pembangunan Sumber Manusia, cukai pelancongan, cukai jalan, dan fi untuk pelbagai lesen syarikat dan permit kenderaan.

Beliau berharap sekatan visa kepada warganegara India juga dilonggarkan (kemudiannya bagi China) di samping lebih banyak acara dan majlis kerajaan diadakan di hotel.

Pada masa yang sama, institusi kewangan boleh memberi pinjaman khas, mengurangkan kadar faedah atau membenarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman memandangkan bas-bas pelancongan akan kerap tidak digunakan, katanya.

Sementara itu, pihak industri hotel pula menunggu pelaksanaan inisiatif yang dicadangkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan serta bersedia menyokong demi kebaikan sektor itu.

“Lebih penting adalah kita yakin dengan gabungan dasar kerajaan dan usaha sektor swasta dalam mengekang penularan jangkitan koronavirus, dan Malaysia kekal selamat untuk pelancong,” kata Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Kamaruddin Baharin.

Beliau berkata industri pelancongan, yang mempunyai lebih 3.5 juta orang pekerja atau 23.5 peratus daripada jumlah guna tenaga Malaysia, penting untuk ekonomi dan kesejahteraan negara.

- Bernama