Skip to main
Logo Malaysiakini

Rujuk ayat 8 surah al-Maidah, kata Balachandran

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menyifatkan hanya parti Islam itu yang boleh dipercayai bagi menjamin keadilan dan mempertahankan hak masyarakat bukan Islam di negara ini.

Dengan memetik surah al-Maidah, Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Balachandran Gopal Krishnan berkata Islam menyeru umatnya berlaku adil tanpa mengira agama dan bangsa.

"Dasar PAS adalah Islam dan Islam merupakan agama yang menuntut berlaku adil kepada semua manusia.

“Tidak kira bangsa mahupun agama, Islam suruh adil. Boleh rujuk ayat 8 surah al-Maidah,” katanya yang dipetik lidah rasmi PAS, Harakahdaily.

Ayat lapan surah al-Maidah antara lain menyeru umat Islam menegakkan keadilan kerana Allah SWT dan tidak menyemai kebencian kepada kaum.

Ayat itu juga menekankan kepada umat Islam supaya berlaku adil sebagai lambang ketakwaan kepada Allah SWT.

Kata Balachandran, jika sebelum ini masyarakat bukan Islam takut untuk mendampingi parti Islam itu, namun, setelah mengkaji dan mencari keadilan, akhirnya masyarakat bukan Islam memahami bahawa Islam adalah tempat mempertahankan hak sebagai bukan Islam di negara ini.

Balachandran berkata, antara sebab bukan Islam bersama PAS adalah kerana Islam memberi solusi kepada masalah negara termasuk berkaitan kepentingan penganut agama lain.

Islam juga katanya mengiktiraf kepelbagaian bangsa dan menggalakkan masyarakat untuk saling mengenali dan menghormati antara satu sama lain, serta berhubungan demi kepentingan hidup bersama.

Jelasnya lagi, perkara yang paling penting ialah tiada paksaan untuk menganut agama Islam walaupun berada di bawah kepimpinan Islam.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Muafakat Nasional, Balachandran berkata ia juga turut berpaksikan kepada Islam.