Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya Melayu, saya sayang bangsa dan bahasa Melayu'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan beliau sayang kepada bangsa dan bahasa Melayu.

Penegasan itu dibuat di tengah-tengah kontroversi sains dan matematik dikatakan akan diajar semula dalam bahasa Inggeris di sekolah.

“Saya Melayu. Saya sayang kepada bangsa dan bahasa Melayu,” kata pemangku menteri pendidikan. 

Bagaimanapun, bercakap dalam majlis amanat dan aspirasinya bersama warga Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini, Mahathir berkata, kemajuan bangsa juga harus dipertimbangkan.

“Sebenarnya jika sayang kepada bangsa, utamakan kejayaan sebagai satu bangsa dan kemajuannya lebih dari hanya kegunaan bahasa sendiri sahaja.

“Fikirlah baik-baik. Pepatah berkata sayang anak, tangan-tangankan, sayang isteri, tinggal-tingalkan.

“Sayang bangsa utamakan kejayaan bersaing lebih dari hanya bertutur kata dalam bahasa sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berkaitan kepentingan bahasa Inggeris sebagai platform penyaluran ilmu pengetahuan dan sains.

Mahathir juga menegaskan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa industri.

“Bahasa yang kerap diguna dalam industri biasanya bahasa Inggeris. Tentulah sukar bagi mereka yang tidak faham sains dalam bahasa Inggeris memahami arahan yang diberi.

“Hari ini pun kita dapati mereka yang tidak fasih dalam bahasa Inggeris sukar mendapat kerja. Konferensi sains antarabangsa kerap diadakan. Biasanya bahasa Inggeris menjadi bahasa konferensi.

“Jika pakar sains kita tidak fasih dalam bahasa Inggeris, sains, maka kita tidak mungkin faham perbincangan yang diadakan,” katanya.