Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes rasuah MBPJ masih disiasat, kata SPRM

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sebarang kelewatan berhubung siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa dalam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

"Saya boleh mengesahkan bahawa siasatan tersebut masih sedang dijalankan dan masih lagi diteruskan mengikut prosedur-prosedur siasatan.

"Tidak terdapat apa-apa penangguhan dari pihak SPRM berkenaan kes ini," kata Pengarah SPRM Selangor, Alias Salim dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Alias berkata beliau tidak dapat mendedahkan sebarang maklumat spesifik kerana ia boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

Alias berkata demikian bagi mengulas kenyataan Adun Bukit Gasing, Rajiv Risyakaran bahawa tiada tindakan diambil SPRM walaupun selepas enam bulan salah laku tersebut dilaporkan.

Anggota parlimen DAP itu mendakwa mendapat maklumat daripada pemberi maklumat berkaitan peruntukan untuk beberapa projek oleh majlis bandaraya itu di mana bayaran telah dibuat tetapi tidak dilaksanakan.

Sebaliknya Alias hari ini berkata suruhanjaya itu telah memberi maklum balas kepada Rajiv bahawa siasatan masih dijalankan.

"Kami telah pun membalas kepada beliau secara bertulis seawal 4 Disember 2019 dan 20 Januari 2020 dan menjawab kepada persoalan-persoalan beliau berkenaan status kes tersebut dan telah memaklumkan kepada beliau bahawa siasatan masih sedang dijalankan.

"Persoalan-persoalan beliau tidak dibiarkan tidak berjawab," katanya.

Beliau berkata SPRM akan menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara selepas siasatan dijalankan.