Skip to main
Logo Malaysiakini

Asri ajak berdoa 'hal itu terjadi dan negara ini diselamatkan'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan tokoh politik berwibawa di dalam dan luar kerajaan dibawa bekerjasama untuk "menyelamatkan negara".

Dakwa beliau rakyat hari ini mendapati pentadbiran kerajaan "banyak tersangkut" manakala majoriti rakyat pula bimbang terhadap identiti negara yang terancam.

"Di sana sini rakyat merasai satu perjalanan pemerintahan yang tersangkut.

"Banyak isu yang tidak dapat diselesaikan dengan cara yang sewajarnya. Majoriti rakyat merasai bimbang dengan identiti negara yang seakan cuba dicarik-carikkan," katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan itu dimuat naik Mohd Asri ketika iklim politik negara sedang dibayangi khabar mengaitkan Umno dan PAS akan bekerjasama dengan Bersatu untuk membentuk kerajaan baru.

Menurut teori berkenaan, jika ia menjadi kenyataan, dua parti komponen PH - DAP dan Amanah - akan kembali menjadi pembangkang.

Untuk rekod PAS memang sejak beberapa tahun lalu cuba meminggirkan DAP dan Amanah daripada pakatan yang dicadangkannya, manakala Mohd Asri pula menjadi antara pengkritik lantang kepada beberapa pemimpin kedua-dua parti terbabit.

Menurut Mohd Asri dalam keadaan sekarang satu pembentukan kabinet diperlukan dengan membabitkan gabungan ahli parlimen tertentu - yang didakwanya lebih dapat memelihara identiti dan perlembangaan negara, berintegriti, berwawasan, mengukuhkan ekonomi, menghormati Islam dan institusi asas negara.

Tak mahu pemerintahan korupsi

Dalam kenyataan itu beliau turut menyatakan ciri-ciri lain yang diperlukan untuk membentuk kabinet tersebut, iaitu menyelamatkan negara dari provokasi perkauman yang membimbangkan, bebas daripada pemikiran liberalisme melampau, bebas dari korupsi, tidak menjadi alat kepada pihak anti-Islam, mempunyai pendekatan Islam yang sederhana dan luas konsepnya.

"Tokoh-tokoh politik berwibawa dalam kerajaan dan luar kerajaan perlu berkerjasama membentuk gabungan yang lebih menyelamatkan keadaan, meyakinkan dan membangunkan negara atas landasan diterima oleh majoriti rakyat.

"Marilah kita mendoakan agar hal itu terjadi dan negara ini diselamatkan," katanya.

Esok, Umno dilaporkan bakal memuktamadkan keputusan sama ada akan bekerjasama dengan Bersatu bagi membentuk kerajaan campuran atau sebaliknya.

Malaysiakini difahamkan ada dua mesyuarat Umno berlangsung untuk membincangkan perkara itu.

"Jika tiada bantahan daripada Majlis Tertinggi (MT), kerjasama itu nampaknya akan menjadi kenyataan.

"Esok sebelah pagi akan berlangsung mesyuarat jawatankuasa politik, manakala sebelah petang MT Umno dijangka akan membuat keputusan mengenai perkara itu," kata sumber dalaman Umno hari ini.

Lokman Noor Adam

Spekulasi mengenai kerajaan campuran membabitkan Bersatu, Umno dan PAS tercetus 3 Feb lalu apabila anggota Majis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam, mendedahkan mengenai perkara itu.

Lokman tampil membidas presidennya sendiri, Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya mahu bekerjasama dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu Asri berkata negara memerlukan iklim baru apabila perkauman semakin menjadi-jadi dan ekonomi negara berada pada tahap yang merungsingkan.

"Perkembangan ekonomi yang semakin sukar dan merunsingkan. Keyakinan terhadap hala tuju pemerintahan yang makin terhakis.

"Dalam masa yang sama, tidaklah rakyat mahu hidup di bawah pemerintahan yang penuh korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Tidak juga mahu negara jatuh ke tangan mereka yang boleh menjadi alat kepada pihak yang anti-Islam," katanya lagi.

Pun begitu, kata Asri, kerjasama itu tidak boleh menjadikan Malaysia negara yang radikal pendirian Islam dan kaumnya.