Skip to main
Logo Malaysiakini

Terpulang kepada SPRM siasat pelaburan Airbus di Malaysia - Loke

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk melakukan siasatan sewajarnya terhadap kepentingan Airbus di Malaysia susulan dakwaan rasuah membabitkan pengeluar pesawat itu dan dua eksekutif AirAsia.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata sebagai satu agensi bebas, SPRM juga bebas untuk menjalankan sebarang siasatan yang disifatkannya sebagai wajar.

"Saya rasa ini adalah tugas SPRM. Ini bukannya bidang kuasa kita (Kementerian Pengangkutan). Oleh itu terpulanglah kepada SPRM untuk mengambil tindakan sewajarnya. Kerajaan tidak boleh campur tangan," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan perhimpunan bulanan kementerian itu di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas sama ada kerajaan akan bertindak meneliti semua transaksi Airbus di Malaysia susulan dakwaan rasuah tersebut.

Laporan media Britain mendakwa Airbus membayar RM204 juta dan menawarkan RM225 juta lagi untuk menaja sebuah pasukan sukan yang mempunyai kaitan dengan dua individu berpengaruh dan pembuat keputusan di AirAsia and AirAsiaX.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dilaporkan berkata agensi itu sudah menjalankan siasatan dan menghubungi pihak berkuasa di United Kingdom berhubung perkara itu.

Pelaburan Airbus di Malaysia adalah menerusi Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd iaitu anak syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulihnya selain kemudahan Perkhidmatan Pelanggan Airbus Malaysia yang mana kedua-duanya adalah milik penuh syarikat itu.

Mengulas perkara lain, Loke yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, turut menyanggah laporan mengenai kerjasama antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Tak perlulah masa disia-siakan dengan (cerita) khabar-khabar angin sebegini. Kita sedang berdepan krisis (penularan novel koronavirus 2019). Malah, saya rasa seluruh dunia berdepan krisis itu. Kita perlu berusaha ke arah kemajuan negara, saling bekerjasama menangani koronavirus dan menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.

- Bernama