Skip to main
Logo Malaysiakini

PMO: Kenyataan PM 'Offset bukan rasuah' tak rujuk AirAsia

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata kenyataan Dr Mahathir Mohamad bahawa 'bayaran offset' bukan rasuah tidak merujuk kepada kes rasuah melibatkan AirAsia di United Kingdom (UK).

Ini selepas Mahathir memberikan contoh bahawa bayaran 'off set' dalam urus niaga kerajaan tidak sama seperti rasuah ketika ditanya mengenai kes berkenaan.

"Pejabat Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad menjelaskan beliau tidak mencadangkan dakwaan rasuah terhadap AirAsia sebagai bayaran 'offset'.

"Dalam menjawab soalan oleh media, beliau menegaskan bahawa ia adalah perkara biasa bagi kerajaan untuk meminta offset untuk memberikan manfaat daripada pembelian besar.

"Beliau tidak kata yang AirAsia telah mendapat manfaat daripada amalan biasa ini. Beliau berkata, hanya jika wang itu pergi kepada individu, ia menjadi rasuah. 

"Jika ia bukan untuk kepentingan peribadi maka tiada rasuah pada pandangan beliau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan mengenai kenyataan Mahathir itu mengundang kritikan kerana dikatakan mewajarkan rasuah.

PMO bagaimanapun berkata laporan media mengenai kenyataan perdana menteri itu adalah tidak tepat.

"Laporan media merujuk kepada perdana menteri mencadangkan dakwaan rasuah terhadap AirAsia sebagai bayaran offset. Oleh itu, adalah tidak tepat dan mengelirukan.

"PMO melihat secara serius laporan yang mengelirukan itu dan laporan yang tidak menggambarkan dengan tepat apa yang dikatakan oleh perdana menteri.

"PMO, oleh itu, berhasrat menasihati media untuk lebih peka kerana laporan yang mengelirukan boleh mempunyai kesan yang tidak diingini kepada kefahaman orang ramai terhadap isu-isu," katanya.

Pada sidang akhbar semalam, Mahathir mengulas isu membabitkan AirAsia selepas terpalit dalam dakwaan rasuah bernilai RM240 juta yang melibatkan syarikat pembuat kapal terbang, Airbus.

“Saya dengar tuduhan bahawa AirAsia terlibat dengan rasuah, tetapi saya tak berani nak buat keputusan.

“Tetapi biasanya apabila kerajaan pun membeli peralatan kita selalu minta apa ni, offset.

"Umpamanya bila kita beli kapal terbang kita minta offset. Sama ada kita anggap offset itu sebagai rasuah atau tidak, terpulang.

“Tetapi bagi saya, kalau kita boleh dapat sesuatu kerana kita beli suatu dengan harga yang tinggi, kita tidak boleh terima.

“Kalau duit yang kita dapat itu masuk poket kita itu rasuah tetapi kalau duit itu adalah untuk tujuan tertentu, dia menjadi offset, bukan rasuah,” katanya.

PMO, dalam satu kenyataan hari ini berkata terpulang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat keputusan jika AirAsia terlibat dalam rasuah.

Semalam, Focus Malaysia, memetik dokumen mahkamah UK, yang berkata Airbus membayar AS$ 50 juta (RM240 juta) kepada pasukan sukan yang dimiliki oleh dua eksekutif AirAsia sebagai timbal balas penjualan 180 pesawat kepada syarikat penerbangan tambang murah itu.

Dokumen mahkamah itu menambah walaupun pasukan sukan itu dimiliki oleh kedua-dua eksekutif AirAsia berkenaan, ia tiada kaitan dengan syarikat penerbangan tersebut.

"Pasukan sukan dimiliki bersama oleh Eksekutif 1 AirAsia dan Eksekutif 2 AirAsia, tetapi secara undang-undang tidak berkaitan dengan AirAsia dan AirAsiaX," katanya.

Dokumen-dokumen berkenaan tidak menyebutkan nama tetapi difahamkan ia merujuk kepada Pengerusi Kumpulan AirAsia, Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tony Fernandes.

Kedua-dua mereka menafikan salah laku dan menyatakan Pejabat Penipuan Berat (Serious Fraud Office atau SFO) Britain tidak pernah menghubungi AirAsia sepanjang siasatan berjalan.

"Kami menafikan semua dakwaan salah laku atau salah laku di pihak kami selaku eksekutif dan pengarah AirAsia.

"Caterham F1, syarikat yang dikatakan telah ditaja secara tidak wajar oleh Airbus pada masa yang relevan adalah kumpulan pelumba pasukan Formula 1 yang ke seluruh dunia bagi mempromosikan antara lain AirAsia, AirAsia X, GE dan Airbus.

"Sepanjang tempoh kami pemegang saham dalam Caterham, syarikat itu tidak membuat sebarang keuntungan dan akhirnya dilupuskan untuk satu pound sterling pada tahun 2014. Dari awal hingga akhir ini adalah satu usaha penjenamaan dan bukan usaha untuk membuat keuntungan," kata mereka.

Bagaimanapun, kedua-duanya melepaskan jawatan sebagai eksekutif bagi membantu siasatan. 

SPRM dan Suruhanjaya Sekuriti telah memulakan siasatan di Malaysia berikutan pendedahan di UK itu.