Skip to main
Logo Malaysiakini

Koronavirus: M'sia bersetiakawan dengan China, tegas Wisma Putra

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Wisma Putra hari ini menegaskan bahawa Malaysia tetap bersetiakawan dengan China berikutan wabak koronavirus baru yang melanda negara itu.

"Malaysia berdiri dan akan terus berdiri dalam bersetiakawan dengan kerajaan dan rakyat China.

"Malaysia mempunyai keyakinan dalam persediaan, daya tahan dan keupayaan untuk bertindak secara berkesan untuk mengatasi wabak ini pada masa ini.

"Sentimen ini juga dikongsi semasa panggilan telefon di antara kedua-dua menteri luar negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wisma Putra berkata demikian bagi menjelaskan laporan berita mengenai penghantaran balik kakitangan diplomatiknya yang tidak diperlukan di China.

Ia menegaskan langkah ini dilakukan untuk mengurangkan risiko pendedahan kakitangan Malaysia terhadap jangkitan wabak berkenaan, dan telah diputuskan selepas rundingan dengan Beijing.

Katanya, penghantaran pulang itu demi memastikan kebajikan rakyat Malaysia.

Ia menambah tidak seperti negara-negara lain, Malaysia membuka pintu kepada rakyat China kecuali dari wilayah Wuhan yang dikenakan perintah kuarantin.

"Tidak kira apa pun keadaan, misi diplomatik Malaysia di China akan meneruskan operasi untuk menyediakan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia dan juga meneruskan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa negara tuan rumah," kata Wisma Putra.