Laporan: Tenggiling mungkin pembawa koronavirus - Penyelidik China
Wabak koronavirus yang merebak di China mungkin tersebar daripada kelawar kepada manusia melalui perdagangan haram haiwan tenggiling yang diburu untuk makanan eksotik dan kepercayaan mamalia bersisik itu mengandungi khasiat dalam perubatan tradisional.
Penyelidik South China Agricultural University di China dipetik Reuters berkata ia suatu penemuan mustahak.
"Penemuan mutakhir akan menjadi sangat signifikan untuk pencegahan dan kawalan asal-usul (virus itu)," kata penyelidik itu.
Menurut Tabung Perlindungan Haiwan Liar (WWF) tenggiling merupakan haiwan yang paling banyak diperdagangkan di Asia, meskipun dilindungi oleh undang-undang antarabangsa.
Reuters juga memetik pakar yang dilaporkan berkata virus itu barangkali berasal daripada kelawar dan kemudian disebarkan kepada manusia, kemungkinan melalui spesis lain.
Agensi berita rasmi China, Xinhua melaporkan urutan salasilah genom baka koronovirus novel yang diasingkan daripada tenggiling dalam kajian itu didapati 90 peratus serupa dengan yang menjangkiti manusia.
Kajian itu mendapati tenggiling "berkemungkinan besar menjadi perumah sementara (virus itu)."
Bagaimanapun, Reuters dalam laporannya memetik Profesor Perubatan Veterinar Hong Kong City University, Dirk Pfeiffer tampil memberi peringatan.
Katanya, kajian itu masih lagi terlalu jauh untuk membuktikan tenggiling menyebarkan virus tersebut, malah kaitan antara manusia dan pasar hidupan liar itu juga masih perlu dibuktikan.
Terdapat spekulasi pasar hidupan liar seperti di Wuhan boleh menjadi titik punca penularan wabak.
China telah mengambil langkah melarang sementara perdagangan hidupan liar sebagai langkah kawalan koronavirus, tetapi kumpulan alam sekitar mengatakan ia tidak mencukupi, menggesa pengharaman kekal dikenakan.
Pentadbiran di Beijing pernah membuat pengumuman serupa ketika wabak Sars pada 2002, tetapi selepas wabak itu berjaya dikawal perdagangan hidupan liar dimulakan kembali.
Bagaimanapun, beberapa lidah pengarang terbit di beberapa media kerajaan China telah mengkritik pasaran hidupan liar yang tidak terkawal di negara itu.
Pada 3 Februari, Presiden Xi Jinping mengeluarkan kenyataan sebagai tanda bahawa China mungkin mempertimbangkan tindakan jangka panjang mengenai perdagangan hidupan liar.
"Perlu untuk memperkuat pengawasan pasaran, larangan tegas dan mengambil tindakan tegas terhadap pasaran dan perdagangan hidupan liar haram dan mengawal risiko kesihatan utama dari sumbernya," kata Xi Jinping.
Pada bulan September tahun ini, Beijing bakal menjadi tuan rumah mesyuarat antarabangsa penting mengenai sumber biologi dan alam semula jadi, yang dikenali sebagai Konvensyen Kepelbagaian Biologi.
Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) yang dimeterai pada tahun 1992, mempunyai matlamat utama melindungi biodiversiti sejagat.
Angka terbaru kematian akibat virus itu seperti diumumkan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China kini mencecah 636, dengan jumlah jangkitan meningkat kepada 31,161.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai