Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiga lagi positif, S'pura naikkan amaran Dorscon tahap jingga

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan tiga lagi kes positif jangkitan novel koronavirus 2019 di republik itu, menjadikan jumlahnya kepada 33 kes.

Dalam perkembangan terkini, kementerian itu memaklumkan tiga kes itu terdiri daripada rakyat Singapura yang tiada kaitan dengan kes-kes sebelum ini atau sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

Dua daripadanya masing-masing berada di Malaysia pada 6,11 dan 17 Jan serta 22 hingga 29 Jan lepas.

Mengenai perkembangan keadaan kes-kes yang disahkan, MOH menyatakan bahawa dua pesakit sudah dibenarkan pulang manakala dua lagi kritikal dan selebihnya dalam keadaan stabil atau bertambah baik.

Berikutan perkembangan terbaharu mengenai jangkitan koronavirus di republik itu, Singapura meningkatkan tahap respons wabak penyakit (Dorscon) daripada kategori Kuning kepada Jingga.

Oleh itu, Singapura akan memperkenalkan langkah berjaga-jaga tambahan untuk meminimumkan risiko penularan virus itu.

Kementerian juga menasihatkan penganjur-penganjur acara untuk membatal atau menangguhkan majlis berskala besar yang tidak penting.

Bagi pihak yang ingin meneruskan juga, MOH memaklumkan mereka perlu mengambil langkah berjaga-jaga termasuk tapisan suhu, memantau gejala pernafasan seperti batuk atau selesema dan menyekat kemasukan individu yang tidak sihat.

Republik itu juga meningkatkan tahap perlindungan bagi kumpulan yang mudah terdedah antaranya menggantung aktiviti luar dan antara sekolah sehingga akhir cuti sekolah bulan Mac.

- Bernama