Skip to main
Logo Malaysiakini

Koronavirus: Sabah perluas sekatan perjalanan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan Sabah memperluaskan sekatan perjalanan untuk mencegah wabak koronavirus baru (2019-nCoV) daripada merebak ke negeri ini.

Berkuat kuasa esok, penduduk yang bukan berasal dari Sabah dan mempunyai sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari lalu tidak dibenarkan masuk ke negeri itu.

Ini termasuk warga asing bukan China dan rakyat Malaysia yang bukan dari Sabah.

"Mana-mana rakyat Sabah, penduduk tetap Sabah, penduduk di Sabah yang memiliki pas kerja, pas pelajar, visa lawatan sosial jangka panjang atau mana-mana perintah pengecualian, yang pulang dari tanah besar China adalah tertakluk kepada kuarantin di rumah selama 14 hari," kata Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Safar Untong dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini pada 30 Jan, kerajaan Sabah menyekat semua penerbangan dari China dan warga China daripada memasuki negeri ini.

The Star melaporkan pada 4 Feb langkah ramai warga China terkandas di negeri ini dan tinggal melebihi tempoh visa mereka. Dilaporkan sebanyak 117 penerbangan dari 15 bandar di China digantung sementara.

Pada hari yang sama Free Malaysia Today memetik Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew yang berkata pelancong China yang tiba sebelum 31 Jan akan dibenarkan untuk melanjutkan visa mereka selama tujuh hari.

Bayaran lanjutan visa sebanyak RM100 akan dikenakan dan pelawat perlu menunjukkan tiket sah yang dikembalikan semula. Keperluan untuk mendapatkan penjamin tempatan juga diketepikan.

Sementara itu, Safar memberi amaran warga China yang masih berada di Sabah untuk meninggalkan negeri itu sebelum visa mereka tamat tempoh.

"Sekiranya visa mereka tamat, hanya satu visa lanjutan kepada maksimum tujuh hari boleh diberikan," katanya.

Langkah Sabah memperluaskan sekatan perjalanan itu berlaku sehari selepas kerajaan persekutuan mengenakan sekatan perjalanan baru kepada mereka yang tiba dari China.

Sebelum ini, kerajaan persekutuan hanya menghalang pelancong dari Wuhan dan wilayah Hubei di sekitarnya, tetapi kini termasuk mana-mana pelancong yang berasal dari mana-mana wilayah yang dikuarantin oleh kerajaan China.

Sarawak telah mengharamkan semua pelawat dari China dan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan baru-baru ini ke China sejak 1 Feb

Sekatan itu dikenakan ketika penularan wabak 2019-nCoV di wilayah-wilayah lain di China, serta negara-negara lain di dunia. 

Lebih 28, 403 kes dilaporkan di seluruh dunia, dengan 28,130 kes dikesan di tanah besar China.

Kes-kes jangkitan dari manusia ke manusia juga dilaporkan di luar China, termasuk Korea Selatan, Jepun, dan satu kes di Semenanjung Malaysia.

Di Singapura setakat ini sebanyak 33 kes disahkan dijangkiti 2019-nCoV, memaksa republik itu meningkatkan tahap amaran.