Skip to main
Logo Malaysiakini

PM: Pelan damai Trump iktiraf Israel ceroboh Palestin

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad menyelar pelan damai Palestin yang digagas Amerika Syarikat (AS) dan Israel sebagai berat sebelah kerana dilakukan tanpa sebarang rundingan dengan Palestin.

Berucap pada Persidangan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds (LP4Q) kali ketiga yang bermula pagi ini, Mahathir berkata pelan itu "meranapkan segala usaha untuk membawa keamanan atau keadilan buat Palestin dan hanya mengiktiraf penceroboh yang berkuasa sementara mengabaikan hak golongan yang tertindas."

Pelan damai yang diumumkan Presiden AS Donald Trump pada 28 Jan, akan memberikan kepada Israel apa yang dituntutnya sepanjang tujuh dekad konflik sejak 1948, termasuklah Baitulmaqdis yang menjadi perebutan, semua tanah yang diduduki oleh rakyat Israel dan dibina penempatan.

"Pelan itu tidak akan memberi kedaulatan kepada Palestin, sebaliknya, ia akan memanjangkan lagi penempatan ala apartheid terhadap jutaan rakyat Palestin," katanya menyampaikan ucap tama sidang itu.

Dr Mahathir seterusnya membandingkan penempatan di Palestin dengan penempatan Nazi Jerman terhadap sebahagian Poland dan Czechoslovakia ketika perang dunia kedua.

"Memburukkan keadaan, 'pelan (damai) abad ini' yang disebutkan itu menyerahkan Baitulmaqdis kepada Israel begitu sahaja; tanpa mengambil kira perasaan jutaan penganut Islam dan Kristian di seluruh dunia," katanya.

"Malaysia memandang pelan itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan sangat tidak adil. Ia sangat mengecewakan bahawa meskipun selepas tujuh dekad, 'penyelesaian dua negara' hanya dapat membentuk penyelesaian terhadap sebelah pihak sahaja, iaitu Israel sedangkan rakyat Palestin masih bergelut untuk mendapatkan keadilan, keamanan dan kedaulatan tanah air mereka sendiri," tambahnya.

Beliau turut menyimpulkan bahawa pelan tersebut hanya akan menimbulkan lebih banyak konflik ke wilayah itu dan akan memberi kesan terhadap kehidupan berbilion orang lain di seluruh dunia. 

[Baca berita asal]