Skip to main
Logo Malaysiakini

Kematian pertama rakyat AS akibat koronavirus dilapor di Wuhan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seorang warga Amerika yang dijangkiti koronavirus meninggal dunia di bandar Wuhan, China.

Kematian itu yang pertama melibatkan rakyat Amerika selepas penularan koronavirus, lapor New York Times sebagai memetik seorang jurucakap Kedutaan AS di Beijing.

Kedutaan AS di Beijing bagaimanapun belum membalas permintaan Reuters untuk memberi ulasan.

Sementara itu, seorang warga Jepun yang dimasukkan ke hospital dengan radang paru-paru di Wuhan telah meninggal dunia, kata kementerian luar Jepun dalam satu kenyataan pada hari Sabtu.

Lelaki berusia enam puluhan itu disyaki telah dijangkiti dengan koronavirus tetapi disebabkan kesulitan dalam mendiagnosis, kematiannya dinyatakan sebagai akibat virus radang paru-paru, kementerian luar negeri itu memetik pihak berkuasa kesihatan China.

Sekiranya benar, lelaki itu menjadi orang Jepun pertama yang terkorban akibat koronavirus, meskipun pegawai kementerian luar negeri mengatakan kerajaan mereka tidak maklum sebarang warga Jepun yang terkorban akibat koronavirus.

Koronavirus telah mengorbankan lebih 700 orang di tanah besar China dan menjangkiti lebih 34,000 orang.

Laporan tentang kematian di Wuhan itu hadir ketika jumlah penumpang yang dijangkiti virus itu dari kapal pelayaran yang dikuarantin di pelabuhan Jepun di Yokohama melonjak ke 64 orang.

Koronavirus telah merebak di seluruh dunia, dengan 320 kes di 27 negara dan wilayah di luar tanah besar China.