Skip to main
Logo Malaysiakini

Seorang lagi pesakit koronavirus sembuh, dibenar keluar hospital

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan memaklumkan pesakit kedua positif novel koronavirus (2019-nCoV) yang telah sembuh dan dibenarkan pulang.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, pesakit itu iaitu lelaki warga China berusia 40 tahun dibenarkan keluar dari Hospital Permai Johor Bahru setelah ujian ulangan yang dijalankan sebanyak tiga kali ke atasnya menunjukkan keputusan negatif.

Menurut Noor Hisham, lelaki itu dimasukkan ke wad pengasingan hospital itu pada 24 Januari lalu selepas mengalami demam panas dan radang paru-paru, dan keadaannya bertambah tenat pada hari kedua sehingga memerlukan bantuan oksigen.

"Imbasan x-ray di dada pada hari keempat menunjukkan tanda jangkitan bertambah tenat. Pihak hospital telah memulakan rawatan dengan ubat antiviral Kaletra (off-label use) pada 28 Januari 2020.

"Selepas lapan hari rawatan, keadaan pesakit bertambah baik dan telah sembuh sepenuhnya. Terkini keputusan ujian ulangan kali ketiga didapati negatif, selepas ujian pertama dan kedua juga didapati negatif.

"Pesakit dibenarkan pulang pada petang ini," katanya dalam kenyataan.

Kaedah tersebut sama dengan rawaan yang diberikan kepada kanak-kanak berusia empat tahun yang dikesan positif koronavirus pada akhir bulan lalu.

Menjadi kes keenam koronavirus di Malaysia, kanak-kanak warga China itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Maliha di Langkawi pada 28 Januari lalu dan dibenarkan keluar pada 4 Februari, selepas dua ujian pengesanan ulangan 2019-nCoV terhadapnya menunjukkan keputusan negatif.

Dalam kenyataan itu, Noor Hisham menyuarakan penghargaan kepada pasukan perubatan Hospital Permai Johor Bahru, yang diketuai oleh pakar perubatan penyakit berjangkit Dr Masliza Zaid atas kejayaan itu.

Dengan anggaran kadar kematian pada dua peratus, 2019-nCoV kurang membawa maut berbanding Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars) yang menjangkiti 8,098 orang dan meragut 774 nyawa di 17 negara antara 2002 dan 2003 (mewakili kadar kematian sekitar 9.6 peratus).

Bagaimanapun 2019-nCoV yang mula menular di Wuhan, China lebih mudah berjangkit. Setakat ini, virus itu telah menjangkiti 34,915 orang dengan 724 angka korban.

Tiada kematian dilaporkan di Malaysia ekoran virus itu. Kesemua 16 kes dalam negara ini adalah "kes import" kecuali satu kes yang merupakan jangkitan "dari manusia ke manusia" melibatkan lelaki warga Malaysia yang kembali dari Singapura.

Hari ini Kementerian Kesihatan memaklumkan semua 69 individu yang pernah berkontak rapat dengan lelaki itu - dirujuk sebagai Kes 9 - telah dikesan dan disahkan negatif, kecuali adik perempuannya (Kes 13) yang didapati positif dan dimasukkan ke wad pengasingan.