Skip to main
Logo Malaysiakini

Sarawak setuju wujudkan hab inovasi belia di Sibu

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan Negeri bersetuju menyediakan tapak bagi mewujudkan sebuah hab inovasi untuk melengkapkan belia di bandar ini dengan kemahiran dan pengetahuan ekonomi digital.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata hab tersebut penting bagi pelaksanaan ekonomi digital di Sarawak yang memerlukan golongan belia memahirkan diri dalam teknologi maklumat (IT).

"Saya akan lakukan ini untuk golongan belia kerana ia adalah hab inovasi, kita hendak menuju ke arah digital ekonomi, oleh itu golongan belia mesti ada tempat," katanya pada majlis sambutan Chap Goh Meh di Dewan Suarah di sini malam tadi.

Menurutnya, ramai dalam kalangan golongan belia Sarawak mempunyai bakat besar dalam bidang teknologi maklumat.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan permintaan Pengerusi Program Pembaharuan Bandar Sibu, Datuk Chieng Boon Toon untuk membangunkan semula kawasan Bukit Assek di bandar itu.

- Bernama