TPM ucap takziah mangsa pembunuhan di Thailand
Timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah yang paling mendalam kepada keluarga mangsa pembunuhan yang ditembak di bandar Nakhon Ratchasima, Thailand yang mengorbankan 21 nyawa dan mencederakan yang lain.
"Tidak ada tempat di dunia untuk orang-orang yang melakukan jenayah kejam sebegitu dan media sosial tidak boleh digunakan sebagai alat oleh penjenayah seperti ini," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Quill City Mall yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Jakim) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).
"Saya mengucapkan takziah yang paling mendalam kepada ahli keluarga dan orang yang tersayang. Saya berdoa untuk mereka dan mereka yang cedera supaya mempunyai kekuatan untuk menjalani ujian ini.
"Saya juga berdoa semoga mereka yang cedera lekas sembuh," kata Wan Azizah.
"Rakyat Malaysia teguh bersama-sama rakyat Thailand dalam melalui saat mendukacitakan ini," katanya.
Terdahulu hari ini, Reuters melaporkan ihak keselamatan Thailand menembak mati seorang anggota tentera selepas dia mengamuk dengan melepaskan tembakan di kawasan terbuka di beberapa lokasi di Nakhon Ratchasima, di wilayah timur laut negara itu, yang meragut sekurang-kurangnya 21 nyawa.
Kejadian bermula kira-kira pukul 3 petang pada hari Sabtu apabila askar tersebut melepaskan tembakan di sebuah rumah sebelum pergi ke sebuah kem tentera dan kemudian ke pusat membeli-belah di wilayah itu.
Menurut laporan Al Jazeera yang memetik agensi AFP, askar itu yang identitinya dikenal pasti sebagai Sarjan Mejar Jakapanth Thomma, menggunakan mesingan.
"Seorang lelaki bersenjata menggunakan mesingan dan menembak mangsa tidak bersalah menyebabkan ramai yang cedera dan mati," kata seorang jurucakap polis seperti dipetik laporan itu.
Menurut laporan itu, Jakapanth melarikan sebuah kenderaan bersenjata dan memuat naik gambar dan video yang memaparkan dirinya dengan kelengkapan taktikal, sambil melakukan serangan.
Antara video dan gambar yang dimuat naik memaparkan orang ramai melarikan diri dan bunyi semacam tembakan senjata automatik.
Lelaki itu, menurut laporan Reuters semalam telah memuat naik status bertulis "tiada siapa dapat mengelak kematian" di akaun Facebooknya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai