Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuan Ibrahim kongsi kisah Nik Aziz dan tongkat kesayangannya

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketika menitipkan pesanan buat ahli PAS mengenai soal kebajikan, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkongsi pengalamannya tentang tongkat milik Almarhum Nik Abdul Aziz

Katanya, Nik Aziz menasihatinya mengenai sepotong ayat al-Quran berkenaan kebajikan yang masih diingatinya sehingga kini.

“Kamu tak akan dikategorikan sebagai golongan yang membawa kebaikan dan kebajikan sehingga kamu sanggup memberikan sumbangan apa yang kamu sayang,” katanya memetik maksud ayat 92, Surah Ali Imran. Nik Mat.

Kongsinya, pernah satu ketika ketika berbual dengan bapa saudaranya itu di rumah allahyarham, mereka didatangi seorang lelaki tua yang bertongkat.

“Tuan guru pada masa itu pakai tongkat yang cantik. Saya tak tahu dari mana dia dapat atau beli, tapi saya cam tongkat itu cantik, jadi saya tahu dia sayang tongkat itu,” kata Tuan Ibrahim.

Menurutnya, dalam pertemuan tersebut, lelaki tua itu tiba-tiba meminta untuk menukar tongkatnya dengan tongkat yang cukup disayangi Nik Aziz itu.

“Saya tahu tuan guru serba salah, pakcik ini minta tongkatnya," katanya sambil berseloroh mengenai keadaan tongkat orang tua itu.

Meskipun begitu, kata Tuan Ibrahim, Nik Aziz tetap sanggup memberikan tongkat kesayangannya kepada lelaki berkenaan, sebelum mengambil tongkat kayu lelaki tersebut.

Kata Tuan Ibrahim, Nik Aziz kemudian berpaling kepadanya dan mengingatkan mengenai ayat dari surah Ali Imran itu.

“Dia pusing kepada saya, dan membacakan ayat itu- kita kena bagi yang kita sayang, kita kena bagi yang kita sayang.

"[...] Sebab itu al-Quran mencela sumbangan yang kita tak suka dan tak mahu, kita bagi pada orang lain, yang kalau orang lain bagi pada kita pun kita tak suka. Allah nak kita bagi sesuatu yang kita sayang," kongsinya.

Kisah itu dikongsi Tuan Ibrahim ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Konvensyen Kebajikan Nasional 2020 di Dewan Seri Kasih Bandar Tun Hussein Onn hari ini.

Kata Tuan Ibrahim, kebajikan merupakan aspek penting dalam perjuangan PAS sehingga beliau menganggapnya sebagai “tonggak keempat” PAS selepas dakwah, tarbiyah, dan siasah yang sinonim dengan parti tersebut.

Konvensyen yang dianjurkan oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat itu disertai oleh 500 orang ahli, bagi menyusun atur porgram-program kebajikan di bawah PAS.

Program itu turut disertai oleh pengerusi lajnah berkenaan, Dr Rosni Adam yang turut menyampaikan ucapan.

Menarikanya sepanjang perasmian berlangsung, semua ucapan diterjemah oleh jurubahasa isyarat, Noor Haseken P Ramly di hadapan pentas.

Noor Haseken merupakan penyelaras parlimen OKU (orang kurang upaya) Pangkalan Chepa.

Ia bagi memudahkan golongan kurang upaya memahami ucapan disampaikan, yang turut disiarkan secara langsung di platform media sosial.

Usaha menggunakan jurubahasa isyarat itu bukanlah kali pertama diadakan, malah pernah dilakukan ketika muktamar PAS berlangsung.