Skip to main
Logo Malaysiakini

Perjuangan Palestin tak kira Islam, bukan Islam

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KATA MP | Yesus semakin dekat Yerusalem dan apabila Dia melihat kota itu, Dia menangisinya.

Dia berkata, “Alangkah baiknya jika kamu mengetahui apa yang dapat mendatangkan keamanan! Tetapi sekarang kamu tidak dapat melihatnya. Masanya akan tiba apabila musuh mengelilingimu dengan sekatan. Mereka akan mengepung dan mengasak kamu dari segala arah. Mereka akan memusnahkan kamu dan semua pendudukmu. Tidak seketul batu pun akan tertinggal pada tempatnya, kerana kamu tidak tahu masanya Tuhan datang menyelamatkan kamu!” - [Lukas 19:41-44]

Saya diberitahu bahawa antara sebab saya diminta untuk mempengerusikan sesi berkaitan strategi menamatkan pendudukan Israel terhadap Palestin adalah kerana saya seorang "non-Muslim".

Saya menghargai penghormatan yang diberikan tetapi saya juga berharap, pada persidangan akan datang, kita akan dapat menarik lebih ramai orang bukan Islam untuk menjadi speaker mahupun moderator.

Dalam tempoh persidangan dua hari ini, satu perkara yang saya pelajari adalah isu Palestin perlu dibincangkan dari sudut pelbagai dimensi (multidimensional).

Contoh, ada dimensi sosialnya walaupun tidak terhad kepada dimensi sosial semata-mata. Isu Palestin bukan dan tidak patut terhad kepada pejuangan orang Islam sahaja. Ia merupakan perjuangan manusia sejagat.

Saya sering memberitahu sahabat-sahabat Palestin bahawa kepelbagaian agama dan kaum di Malaysia membekalkan pentas terbaik untuk menjadikan perjuangan rakyat Palestin ini sebagai perjuangan manusia sejagat dan bukan sahaja terhad dalam perjuangan orang Islam.

Namun, kita tidak boleh meremehkan perjuangan manusia sejagat kepada bantuan keperikemanusiaan atau perbuatan amal semata-mata.

Isu ini mempunyai dimensi ekonominya, walaupun, sekali lagi, ia tidak terhad kepada ekonomi. Dalam kata lain, kita harus terus membina, membina semula dan mengizinkan sektor industri berkembang pesat di Palestin. (Semalam, seorang sahabat berkata rakyat Palestin ialah bangsa yang rajin).

Tetapi kita tidak boleh menyangka bahawa hanya dengan memberikan wang yang mencukupi kepada rakyat Palestin, mereka akan melupakan tanah air, kemerdekaan dan maruah diri mereka.

Ini kerana akhirnya, dan paling penting sekali, perjuangan Palestin mempunyai dimensi politik.

Tuntut keadilan perlu beri keadilan

Israel ialah negara politik yang menzahirkan ideologi politik melampau ke atas orang yang dijajah. Undang-undang negara bangsa Yahudi adalah satu tindakan politik, tembok di Tebing Barat (West Bank) adalah satu tindakan politik, dan yang dikatakan "deal of the century" itu adalah satu tindakan politik.

Palestin merupakan entiti politik yang bangkit melawan penjajah dan penindas. Oleh kerana ia adalah politik, maka kita perlu ada iltizam politik dan seterusnya tindakan politik. Ini bermasuk tindakan yang membawa kepada kebebasan, keadilan dan solidariti.

Oleh sebab itu, isu Palestin perlu dikait dengan perjuangan politik orang tertindas di serata dunia, tidak kira orang Islam atau orang bukan Islam.

Pada satu masa dulu, rakyat Palestin bersolidariti dengan perjuangan Nelson Mandela melawan regim aparteid di Afrika Selatan. 

Kerana, sesiapa yang menuntut keadilan perlu juga memberikan keadilan kepada orang lain, sesiapa yang menuntut kebebasan perlu juga memberikan kebebasan kepada orang lain, sesiapa yang menuntut solidariti perlu juga memberikan solidariti kepada orang lain.

Akhir sekali, mungkin isu Palestin ini merangkumi dimensi keagamaan. Jikalau ia ada, saya dengan rendah diri mencadangkan — dengan kaveat bahawa saya bukan pakar dalam isu agama — kerohanian kita perlu diterjemah kepada tindakan pengamanan.

Aman seperti yang dimaksudkan dalam perkataan Islam itu sendiri. 

Aman seperti yang diimpi oleh nabi dan rasul Bani Israel purba, apabila gunung dan bukit bersorak sorai gembira dan pohon-pohon tertepuk tangan.

Dan sememangnya, aman seperti dalam kitab Kristian yang saya baca di pengenalan tadi: "Alangkah baiknya jika kamu mengetahui apa yang dapat mendatangkan keamanan."

Saya berharap kita dapat mempertimbangkan kepelbagaian dimensi ini dalam kerangkaan strategi isu Palestin.

Saya mengakhiri sesi ini dengan memetik ucapan saudara Lim Kit Siang pada tahun 1975:

"Revolusi Palestin merupakan suatu perjuangan yang patut didukung oleh semua manusia yang inginkan kebebasan, keadilan dan keamanan, dan harapan saya adalah, dalam isu sejagat ini, semua pandangan dan kuasa politik perlu bergabung dan bekerjasama, menjangkaui pertimbangan dan kepentingan kepartian, untuk meluahkan sokongan tanpa belah bahagi serta solidariti seluruh Rakyat Malaysia."


STEVEN SIM ialah timbalan menteri belia dan sukan merangkap ahli parlimen Bukit Mertajam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.