Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari ke-3: Peguam dakwa saksi terima RM50,000 dari Jepak Holdings

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Perbicaraan rasuah terhadap bekas isteri perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, melibatkan dakwaan penyelewengan dana bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bersambung di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


1.48 petang: Mahkamah ditangguh hari ini dan akan bersambung esok.

Peguam soal Mahdzir mengenai mesej teks dengan MD Jepak

1.30 petang: Peguam Jagjit Singh menyoal Mahdzir Khalid mengenai mesej teks di antara beliau dan pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Perbualan mereka yang dibacakan di mahkamah oleh Jagjit, termasuk mesej dari Saidi yang mengatakan bahawa dia masih menunggu Letter of Award (LA) "seperti yang dijanjikan oleh YB", merujuk kepada Mahdzir.

Jagjit kemudian menyoal Mahdzir mengenai hal itu, dengan mengatakan bahawa mesej teks berkenaan kelihatan seperti dia telah menjanjikan sesuatu kontrak dengan Jepak.

Walau bagaimanapun, Mahdzir menafikannya.

Jagjit kemudian mencadangkan kepada Mahdzir bahawa dia bersetuju untuk memberikan LA kepada Saidi kerana MD Jepak itu memberikannya RM50,000.

Jagjit: Dengan menerima RM50,000, kamu telah dibeli oleh Saidi. Sebab itu mesej dari Saidi berbunyi "seperti dijanjikan YB".

Adakah kamu bersetuju atau tidak setuju?

Mahdzir: Saya tidak bersetuju.


Peguam dakwa saksi terima RM50,000 dari Jepak Holdings

12.45 tengah hari: Peguam bela Rosmah Mansor, Jagjit Singh, berkata bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid pada 2015 menerima RM50,000 daripada pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Walau bagaimanapun, saksi kelima pendakwaan itu tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Jagjit: Pada 19 Disember 2015, Datuk Seri telah meminta, atau memberitahu Saidi beberapa kali bahawa kamu mahu ke London dan ini melibatkan perbelanjaan yang besar.

Dan kemudian Saidi memberi kamu RM50,000 untuk menampung perbelanjaan.

Adakah kamu bersetuju?

Mahdzir: Saya tidak bersetuju.

 


Mahdzir: Najib paksa saya beri projek kepada Jepak

12.30 tengah hari: Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid mengulangi kenyataannya bahawa perdana menteri ketika itu, Najib Razak menekannya untuk menyerahkan projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak kepada Jepak Holdings.

Beliau berulang kali berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Jagjit Singh.

Jagjit mencadangkan kepada Mahdzir bahawa kenyataannya bahawa Najib menekannya adalah tidak benar.

"Dia memberi tekanan ke atas saya," kata Mahdzir.


Peguam bela dan saksi bertikam lidah mengenai ‘arahan’ Najib

12.20 tengah hari: Saksi Mahdzir Khalid tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela Jagjit Singh bahawa catatan nota atau minit oleh Najib bukannya satu arahan.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam yang bertindak untuk isteri Najib, Rosmah Mansor.


Peguam bela soal Mahdzir Khalid

11.30 pagi: Peguam bela Jagjit Singh menyoal saksi pendakwaan kelima, Mahdzir Khalid.

Jagjit memulakan pemeriksaan balasnya dengan meneliti pernyataan saksi bekas menteri pendidikan itu, dan memintanya untuk menjelaskan perkara-perkara tertentu dalam keterangannya.


Audio 'Can I advised you on something' dimainkan di makamah

11.25 pagi: Pihak pendakwa memainkan rakaman audio perbualan telefon yang didakwa antara bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor untuk saksi mengenal pasti suara berkenaan.

Ini adalah rakaman audio sama yang didedahkan oleh SPRM pada sidang akhbar bulan lalu, di mana Rosmah didakwa bercakap dengan Najib mengenai perkara berkaitan dengan ketua pesuruhjaya SPRM, ketika itu, Abu Kassim Mohamed pada 2016.

“Can I advised you on something” yang didakwa sebagai suara Rosmah didengarkan di mahkamah, berulang kali.

Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid, yang tampil sebagai saksi pendakwaan kelima, kemudian memberi keterangan bahawa suara yang didengarnya itu adalah Rosmah.

Beliau juga mengenal pasti suara lain dalam rakaman audio itu adalah Najib.

Pendakwaan mainkan rakaman audio suara Rosmah

11.20 pagi: Gopal Sri Ram menyoal Mahdzir jika beliau dapat mengenal pasti suara bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.

Memandangkan Mahdzir mengakui beliau biasa dengan suara-suara berkenaan dan dapat mengecamnya, Sri Ram kemudian memohon izin mahkamah untuk memainkan rakaman audio untuk dikenalpasti.

Walau bagaimanapun, ini dibantah oleh peguam Rosmah Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kader, atas alasan pihak pendakwaan perlu memberi mereka masa yang mencukupi untuk meneliti bukti berkenaan terlebih dahulu.

Sri Ram kemudian berkata bahawa beliau hanya mahu Mahdzir mengenal pasti suara dalam rakaman itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian membenarkan rakaman audio itu dimainkan.


Gopal Sri Ram menyoal saksi

11.10 pagi: Prosiding diteruskan dengan Gopal Sri Ram meneruskan soalan kepada bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid.

Mahkamah rehat seketika


11 pagi: Hakim menangguhkan perbicaraan seketika.


Mahdzir: Saya tak pernah ambil rasuah dari Jepak

10.45 pagi: Mahkamah diberitahu oleh bekas menteri pendidikan, Mahdzir Khalid bahawa beliau tidak pernah meminta atau menerima apa-apa sogokan daripada Jepak Holdings bagi projek solar hibrid di Sarawak.

Ketika mengakhiri keterangan bertulisnya, Mahdzir berkata beliau hanya menganugerahkan Jepak kontrak bernilai RM1.25 bilion kerana mengikut arahan daripada perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Saksi itu kemudian menyelesaikan keterangannya sebagai saksi pendakwaan dengan menandatangani dokumen berkenaan.


Mahdzir: Najib tandatangani minit untuk beri Jepak pengecualian dari ikut syarat Kementerian Kewangan

10.43 pagi: Bekas Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid berkata pada bulan Julai 2017, Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin dan rakan kongsinya, Rayyan Radzwill Abdullah bertemu beliau untuk bercakap mengenai kesukaran mendapat bayaran bagi tuntutan interim.

Menurut beliau, Saidi berkata Jabatan Kewangan Kementerian Pendidikan tidak mahu memproses borang tuntutan Jepak kerana kekurangan dokumen.

"Bagaimanapun, saya beritahu Saidi yang saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu beliau," kata saksi itu.

Mahdzir memberitahu mahkamah bahawa beberapa hari kemudian, beliau bertemu Rizal Mansor, pembantu kepada Rosmah Mansor, untuk membincangkan tentang perkara yang sama.

Di sana Rizal didakwa meminta Mahdzir menulis surat atas kapasitinya sebagai Menteri Pendidikan untuk meminta Najib Razak, perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, untuk memberi pengecualian kepada Jepak.

Mahdzir berkata beliau kemudian meminta pegawai menyediakan surat itu, yang kemudiannya dihantar kepada Najib.

Menurut beliau, Najib kemudian meletakkan satu minit pada surat itu, mengatakan bahawa dia bersetuju untuk memberikan pengecualian kepada Jepak dan mengarahkan pegawai di Kementerian Kewangan melaksanakan arahan itu.


Jepak Holdings tak puas hati klausa perjanjian projek, gesa pembantu Rosmah campur tangan

10.20 pagi: Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid memberitahu mahkamah bahawa selepas Kementerian Pendidikan bersetuju untuk peganugerahan projek bernilai RM1.25 bilion kepada Jepak Holdings untuk membekalkan sistem solar kepada 369 sekolah di Sarawak pada 2016, eksekutif syarikat itu masih tidak berpuas hati mengenai bagaimana kontrak itu dibuat.

Menurut Mahdzir, pengarah urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin dan rakan kongsinya Rayyan Radzwill Abdullah bertemu beliau pada November 2016 untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dengan klausa dalam kontrak berkenaan.

Klausa yang Saidi dan Rayyan mahu dikeluarkan adalah satu bahagian di mana Kementerian Pendidikan diberi kuasa untuk menamatkan kerja-kerja untuk sekolah-sekolah yang telah disambungkan dengan talian grid.

Mahdzir berkata Rayyan dan Saidi juga memberitahunya kemudian bahawa beliau tidak perlu menjadikannya sukar, dan ia hanya isu kecil untuk Perdana Menteri ketika itu, Najib Tun Razak.

Beliau mengatakan bahawa Saidi ketika itu memanggil Rizal Mansor, yang ketika itu pembantu kepada isteri Najib, Rosmah Mansor, dan menyerahkan telefonnya kepada Mahdzir.

Menurut Mahdzir, Rizal kemudian memberitahunya supaya tidak menyukarkan keadaan, dan projek itu adalah dalam pengetahuan "mem".

"Saya faham bahawa mem yang dimaksudkannya ialah Datin Seri Rosmah".


10.10 pagi: Perbicaraan bermula dengan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Akram Gharib memperkenalkan barisan DPP dan peguam yang menghadiri prosiding hari ini.

Bekas Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid kemudian mengangkat sumpah untuk memberi keterangan sebagai saksi.


10 pagi: Rosmah Mansor memasuki mahkamah apabila perbicaraan bermula di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Turut kelihatan di mahkamah ialah Timbalan Pendakwa Raya, Akram Gharib dan Mustaffa Kunyalam, serta peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader dan Jagjit Singh.


Perbicaraan rasuah terhadap isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak, Rosmah Mansor berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion masuk hari ketiga hari ini.

Bekas menteri pendidikan, Mahdzir Khalid, dijangka menyambung keterangan sebagai saksi pendakwaan.

Minggu lalu, Mahdzir memberi keterangan berhubung pemberian tender projek berkenaan kepada Jepak Holdings pada 2016, termasuk mendedahkan beliau ditekan untuk berbuat demikian oleh Rosmah, pembantunya Rizal Mansor dan Najib sendiri.