Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua banduan akhir Malaysia saman peguam negara S'pura

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dua rakyat Malaysia yang sedang menunggu pelaksanaan hukuman mati mereka di Penjara Changi memfailkan saman terhadap peguam negara Singapura bagi mendapatkan pengisytiharan mereka dihalang daripada mendapat perbicaraan yang adil selepas peguam mereka diancam.

Menurut pertubuhan Lawyers For Liberty (LFL), Gobi Avedian dan Datchinamurthy Kataiah juga memohon untuk mendapatkan perintah penangguhan hukuman mati bagi menunggu siasatan ke atas dakwaan mereka bahawa kaedah pelaksanaan hukuman gantung di penjara itu adalah kejam dan menyalahi undang-undang.

Dalam afidavit sokongan untuk permohonan itu, Datchinamurthy mendakwa wakil dari Pejabat Peguam Negara Singapura mengancam peguam kedua-dua banduan terbabit pada 4 Feb lalu.

Katanya, kejadian berlaku semasa proses praperbicaraan di depan pendaftar mahkamah.

Datchinamurthy berkata, semasa proses itu berjalan wakil dari pejabat peguam negara itu berkata: "Kami menyerahkan hak kami terhadap Encik M Ravi".

"Ravi cuba mendapatkan penjelasan daripada wakil defendan mengenai kenyataan mereka terhadapnya berulang kali semasa persidangan sebelum perbicaraan.

"Walaupun percubaan berulang kali dibuat M Ravi, tidak ada penjelasan yang datang daripada wakil defendan sejak itu.

"Kami dinasihatkan oleh peguam kami dan sesungguhnya percaya bahawa kenyataan oleh wakil defendan adalah ancaman nyata atau tersirat terhadap peguam kami, M Ravi," kata afidavit tersebut yang ditunjukkan LFL.

Justeru, kata Datchinamurthy dalam afidavitnya, mereka percaya kata-kata tersebut adalah ancaman yang sepatutnya menjadi gangguan terhadap hak mereka mendapatkan perbicaraan yang adil serta peguam yang dijamin bebas dalam perlembagaan Singapura.

Sebelum ini, LFL mendakwa bahawa kaedah menggantung banduan menjalani hukuman mati dilaksanakan secara kejam dan tidak sah digunakan di penjara Changi, termasuk menggunakan tendangan untuk menjerut leher tahanan.

Bagaimanapun kerajaan Singapura kemudian menjelaskan, dakwaan dibuat LFL itu mengandungi kenyataan berfakta palsu.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam, juga mengeluarkan kenyataan meminta LFL "melakukan pembetulan menurut Akta Perlindungan Pembohongan dan Manipulasi Online 2019 (Pofma)".

LFL kemudian memfailkan saman terhadap Shanmugam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memohon pengisytiharan bahawa arahan dibuat menteri itu adalah batal, tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap plaintif.

[Baca berita penuh]