Skip to main
Logo Malaysiakini

Pahang larang tangkap ikan temoleh selama 3 bulan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Nelayan sungai dan pemancing di Pahang dilarang menangkap ikan tamalian atau dikenali sebagai ikan temoleh bermula Februari hingga April ini bagi memastikan ikan yang diancam kepupusan itu mempunyai cukup masa untuk membiak dan bertelur.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Datuk Azahari Othman berkata berbanding ikan-ikan sungai yang lain ikan temoleh hanya bertelur dalam tempoh tiga bulan itu dan jika terus ditangkap ia akan menyebabkan ikan berkenaan kekurangan induk untuk bertelur.

Katanya ikan tersebut yang banyak terdapat di sungai-sungai utama di sebelah Pahang Barat seperti Temerloh, Bera, Jerantut dan Lipis mudah ditangkap pada musim membiak kerana akan ke kawasan cetek atau lubuk untuk bertelur.

"Walaupun kita ada melakukan proses pembiakan di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok di Jerantut, namun benih yang dihasilkan tidak begitu banyak menyebabkan kita perlu melarang tangkapan ikan ini pada musim bertelur," katanya semasa dihubungi Bernama di sini hari ini.

Azahari berkata ikan tamalian yang dipercayai hanya terdapat di Pahang dan Perak mendapat permintaan tinggi daripada penggemar ikan sungai menyebabkan harganya boleh mencecah antara RM65 hingga RM100 sekilogram kerana sukar diperoleh.

Beliau berharap sesiapa yang menangkap ikan tamalian dalam tempoh larangan tersebut dapat melepaskan semula ikan itu kembali ke sungai kerana mengikut peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000 serta peralatan menangkap ikan yang digunakan akan dirampas.

"Kita meletakkan papan tanda amaran di beberapa kawasan yang diketahui menjadi lokasi pembiakan ikan tamalian dan berharap orang ramai dapat mematuhi larangan itu supaya jumlah ikan itu tidak semakin berkurangan pada masa depan," katanya.

- Bernama