Skip to main
Logo Malaysiakini

5,000 pengguna Terminal A'bangsa Kukup jalani saringan kesihatan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seramai 5,000 orang yang memasuki negeri ini menerusi pintu masuk Terminal Feri Antarabangsa Kukup, di Pontian, direkodkan sudah menjalani ujian saringan kesihatan setakat ini susulan penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata saringan oleh petugas Pejabat Kesihatan Daerah Pontian itu mula dilakukan sejak 29 Jan lepas.

Beliau berkata terminal feri berkenaan hanya menawarkan satu laluan iaitu antara Kukup dan Tanjung Balai, Karimun, Indonesia dan mempunyai lima perjalanan ke Kukup, setiap hari.

"Secara purata saringan yang telah dibuat melibatkan seramai 5,000 orang dan hasil saringan yang dibuat menerusi termometer digital menunjukkan suhu badan kesemua penumpang (5,000 orang) adalah normal,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyertai pemeriksaan kesihatan penumpang feri di terminal berkenaan, di Pontian, hari ini.

Mohd Solihan yang turut mengedarkan penutup hidung dan mulut kepada penumpang berkata seramai 470 penumpang direkodkan memasuki terminal berkenaan setiap hari.

Selain ujian saringan kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor turut mengadakan sesi penerangan mengenai langkah mencegah jangkitan itu pada 31 Jan lepas kepada kakitangan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) serta agensi-agensi berkaitan yang mengendalikan operasi di Terminal Feri Antarabangsa Kukup, katanya.

- Bernama