Skip to main
Logo Malaysiakini

Kedah anjur majlis kesyukuran sempena hujan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bersama kira-kira 300 orang awam menyertai majlis doa kesyukuran berikutan hujan mula turun di negeri ini sejak petang semalam.

Majlis anjuran Pejabat Menteri Besar Kedah dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dan Jabatan Mufti Negeri Kedah itu dipimpin oleh Mufti Datuk Syeikh Fadzil Awang, yang turut disertai pelajar sekolah rendah, menengah dan tahfiz di sekitar bandar raya ini.

Dalam ucapannya, Mukhriz berkata Kedah mengalami kemarau sejak pertengahan November lepas dan ia merupakan kemarau paling panjang dialami negeri ini dalam tempoh 40 tahun, hingga menyebabkan paras air di empangan turun ke tahap 37 peratus keseluruhannya.

"Pada awalnya, majlis pada pagi ini adalah untuk mengadakan solat sunat Istisqa bagi memohon hujan turun, bagaimanapun oleh kerana hujan telah turun pada hari sebelumnya, program telah ditukar kepada doa kesyukuran di samping memohon perlindungan (Allah swt) daripada wabak penyakit yang melanda negara baru-baru ini.

"Hujan yang turun semalam merupakan nikmat dan rahmat kepada penduduk Kedah setelah hampir empat bulan tidak menerima hujan,” katanya.

- Bernama