Skip to main
Logo Malaysiakini

Usul percaya Mahathir: Mari berterus terang, kata pegawai Anwar

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Setiausaha Politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menganggap usaha membawa usul percaya kepada Dr Mahathir Mohamad adalah langkah tersirat bagi menghalang ahli parlimen Port Dickson itu menjadi perdana menteri.

Dihubungi Malaysiakini untuk mendapatkan pandangannya petang ini, Farhash berkata: "Mari kita bercakap berterus terang. Ini sememangnya suatu cubaan berniat jahat."

Bagaimanapun, Farhash mendakwa bahawa langkah itu tidak menimbulkan panik di kem Anwar kerana pemimpin PKR itu percaya beliau masih mempunyai bilangan ahli Dewan Rakyat yang mencukupi untuk menyokongnya di parlimen.

"Kami tidak terlalu bimbang tentang perkara ini. DSAI (Anwar) telah menyebutnya beberapa kali.

"Tun (Mahathir) mempunyai kuasa dan keyakinan untuk menerajui sekarang. Peralihan kuasa akan berlaku dan dia (Anwar) tidak keberatan menunggu enam bulan lagi, " tambahnya.

Usul menyokong Mahathir itu dicadangkan oleh PAS dan dijangka akan dikemukakan dalam sidang Dewan Rakyat bulan depan.

Namun Mahathir sendiri dlihat menjarakkan dirinya daripada gerakan tersebut.

Enam bulan bukan isu

Pun begitu masih ada orang meyakini perdana menteri dan sesetengah tokoh yang bersama ahli parlimen Langkawi itu berperanan menggerakkan usul tersebut.

Ditanya mengenai hal itu, Farhash sebaliknya enggan membuat spekulasi

Terdahulu, dalam satu ciapan di Twitter, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, berkata usul itu akan membantu PH memberi fokus mengenai isu-isu penting dan bukan cita-cita individu tertentu.

Beliau berkata usul itu akan memberi peluang kepada PH untuk menyatukan dan memperkuat institusi perdana menteri.

Walaupun dia tidak menyebut nama, kenyataannya jelas ditujukan kepada Anwar ketika masa depannya untuk menggantikan Mahathir terus menjadi spekulasi disebalik janji perdana menteri bahawa ia akan dilakukan mengikut persetujuan awal.

Sementara itu Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata parti terbabit masih tidak lagi memutuskan sama ada menyokong undi percaya terhadap Mahathir atau tidak.

Dalam temu bual dengan Reuters, yang diterbitkan minggu lepas, Anwar berkata beliau tidak keberatan untuk menunggu enam bulan lagi bagi memberikan tempoh kepada Mahathir menyerahkan jawatan perdana menteri.

"Anda telah menunggu 20 tahun, menunggu enam bulan lagi bukan isu," katanya.