Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM tetapkan tempoh inkubasi virus 2019-nCoV kekal 14 hari

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan tidak akan memanjangkan tempoh inkubasi atau kuarantin dari 14 hari yang dilakukan sekarang, kepada 24 hari ekoran dapatan terbaru pakar penyelidikan di China mengenai virus novel koronavirus (2019-nCoV).

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata buat masa ini pendirian kementerian terbabit ialah kekal selama 14 hari.

Walaupun begitu, kata beliau, ketetapan itu tetap bergantung kepada perkembangan semasa serta pengesahan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta penyelidik tempatan.

"Kami terpaksa mengekalkan pendirian (untuk mengekalkan 14 hari sebagai tempoh inkubasi) kerana kami mendapat maklumat daripada pakar bahawa untuk menetapkan 24 hari sebagai tempoh inkubasi, ia akan membawa pelbagai implikasi pelbagai, dan hampir semua mengatakan ia satu perkara sukar untuk kita terima pada ketika ini," katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini koronavirus di Putrajaya hari ini

Tambah ahli parlimen Kuala Selangor itu, pelbagai penyelidikan mengenai virus itu sedang dilakukan dan hasilnya akan dibentangkan kemudian.

Dzulkefly berkata demikian ketika ditanya mengenai dapatan terbaru penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit 2019-nCoV di China yang mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah sehingga 24 hari.

Pakar epidemiologi China bertanggungjawab menemui koronavirus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, Dr Zhong Nanshan, berkata kajian oleh sekurang-kurangnya 36 penyelidik dari hospital dan institusi perubatan di negara itu mendapati kurang separuh daripada mangsa yang dijangkiti menunjukkan simptom apabila mereka bertemu doktor pada kali pertama.

Kata Zhong penemuan terbaru itu membuktikan masih banyak yang belum diketahui mengenai 2019-nCoV.

Sementara itu mengulas mengenai perkembangan terkini wabak 2019-nCoV di negara ini, Dzulkefly berkata, tiada kes baru dilaporkan pada hari ini.

Justeru, katanya, kes positif 2019-nCoV yang direkodkan di negara ini kekal 18.

Beliau berkata, sebanyak 106 kontak rapat juga sudah dikenal pasti dan daripada jumlah itu, 60 kontak rapat terdiri daripada warga tempatan manakala 46 lagi warga China.