Skip to main
Logo Malaysiakini

Lima beradik tak mahu berpisah selepas kemalangan ibu bapa

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

"Saya akan jaga adik-adik sampai besar dan takkan (tidak akan) bagi (serah) adik-adik kat (kepada) sapa-sapa (sesiapa)," kata anak sulung kepada pasangan suami isteri yang terlibat dalam insiden kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan menghala utara, di susur ke Perai, Ahad lepas.

Nur Istna Nadira Khairizul Mohamad Noor, 14, yang tidak dapat menahan sebak berkata sebelum kejadian nahas, arwah bapanya sempat menitipkan pesanan kepadanya supaya menjaga adik-beradik yang lain yang kesemuanya seramai empat orang.

“Saya harap penjaga akan jaga kami adik-beradik dan takkan tinggalkan kami, apa pun kami tidak akan berpisah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman mereka yang terletak di Jalan Hj Mohd Saad, dekat Bagan Jermal, di Butterworth.

Nur Istna berkata pada hari kejadian, ibunya Zuriana Hasan, 36, yang kini masih dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ), kelihatan sangat gembira kerana sebelum ini ibunya jarang keluar menaiki motosikal dengan arwah bapanya untuk keluar makan bersama-sama yang turut disertai saudaranya yang lain.

“Sebelum ini, jarang (ibu keluar bersama arwah bapa menaiki motosikal)… Selalunya arwah ayah akan bawa kami adik-beradik jalan-jalan naik kereta, tapi masa kejadian mama syok (gembira) sangat nak naik motor,” katanya.

Sementara itu, datuk kepada lima beradik malang itu Hasan Ismail, 67, menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku yang menyebabkan kematian menantu lelakinya dan anaknya yang masih terlantar di Unit Rawatan Rapi HSJ.

“Buat masa sekarang, kami akan jaga mereka semampu yang boleh. Saudara sini ramai, malah kami sangat akrab,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Urusan Nasmir Holding Sdn Bhd, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak menerusi Yayasan Al Nasmir turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM2,000 dan hamper berupa makanan untuk lima beradik itu.

“Kami juga berhasrat untuk menjadikan anak-anak ini sebagai anak angkat yayasan ini dan akan membantu mereka dari segi kewangan dan juga pelajaran.

Yayasan turut akan menyumbangkan RM1,000 sebulan selama setahun bagi meringankan beban pewaris yang menjaga anak-anak mangsa. Malah, kita juga akan bantu mereka untuk membeli barangan keperluan untuk Hari Raya dan juga barangan persekolahan,” katanya yang turut menyeru semua pihak untuk terus memberi sumbangan kepada anak-anak mangsa bagi meringankan beban yang terpaksa digalas mereka.

Turut hadir memberi sumbangan ialah wakil pejabat anggota Parlimen Bagan, wakil pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bagan Jermal, serta PERKESO negeri Pulau Pinang.

Dalam nahas kira-kira pukul 5.00 pagi Ahad lepas, Khairizul Mohamad Noor, 39, meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Zuriana Hasan, 36, yang cedera parah kini dirawat di HSJ, dalam keadaan kritikal.

Dalam kejadian itu, motosikal yang ditunggang pasangan suami isteri itu dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk di Kilometer 140.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara, di susur ke Perai di Bukit Mertajam.

- Bernama