Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas ‘pingat dari parit’, Cikgu Mei Ubai gali kolam renang

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tanpa kemudahan kolam renang dan cuma berenang dalam parit, siapa sangka pelajar sekolah SK Simpai Pahang, Muadzam Shah mampu pergi jauh sehingga ke peringkat kebangsaan.

Inisiatif itu diambil oleh guru penolong kanan kokurikulum SK Simpai Mohamad Sahaimi Zainal yang membina kolam renang hampir 1 ekar di kawasan lapang di sekolah mereka.

Pembinaan kolam renang 9 kali 25 meter dan kolam terjun 7 kali 7 meter itu bermula pada pertengahan Julai 2019 dan dijangka siap pada Februari tahun depan.

Mohamad Sahaimi, 43, atau panggilan mesranya Cikgu Mei Ubai menyimpan hasrat untuk membina kolam renang itu sejak tahun 2016 lagi.

“Apabila saya melihat anak murid SK Simpai terjun dan berenang di dalam parit, pada saya mereka berbakat dan perlu digilap ke tempat yang betul.

“Alhamdulillah hasil dari latihan di parit dan gilap bakat mereka ini hingga berjaya ke peringkat kebangsaan dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia dan terpilih menjadi atlet Pahang untuk SUKMA (Sukan Malaysia),”katanya.

“Menyedari hakikat itu, kami mengambil inisiatif untuk memenuhi impian pelajar dengan membina kolam renang di sekolah,” katanya kepada Malaysiakini.

 Proses membuat blok tapak laluan untuk menutup kawasan keliling kolam.

Cikgu Mei Ubai berkata, usaha itu juga dibuat kerana sekolah tidak mampu membawa pelajar ke kolam renang awam.

Hal ini kerana, katanya, atas faktor keselamatan pelajar serta kedudukan pusat latihan di Kuantan yang jaraknya lebih 100km dari SK Simpai.

Cikgu Mei Ubau juga berkata pada setiap petang, beberapa orang guru yang akan membantu membina kolam renang.

Hasil tenaga sendiri, sekolah itu telah membina proses membuat blok tapak laluan untuk menutup kawasan keliling kolam.

Tak semestinya jadi atlet

Cikgu Mei Ubai yang juga pengerusi teknik akuatik Majlis Sukan Sekolah-sekolah Pahang berkata kemudahan kolam renang ialah keperluan demi perkembangan pembangunan sukan akuatik.

Katanya, terlalu ramai bakat-bakat yang ada tetapi tidak mendapat latihan yang sepatutnya.

“Dengan terbinanya kolam ini nanti akan dapat membantu meringankan kos serta latihan yang kerap untuk anak-anak didik,” katanya.

 

 

Beliau juga berkata pembinaan kolam renang itu dapat memberikan kemahiran keselamatan dan keyakinan diri dalam air kepada murid-murid serta guru-guru.

“Kalau mereka tidak menjadi atlet pun mereka mungkin menjadi penyelamat di air satu hari nanti,” katanya lagi.

Menurut Cikgu Ubai, apabila kolam ini siap sepenuhnya, murid-murid boleh menjalani latihan kemahiran aktiviti air di waktu Pendidikan Jasmani, waktu kokurikulum, waktu petang dan hujung minggu.

Di samping itu juga aktiviti air merupakan aktiviti kegemaran murid di sekolah tersebut dan mampu memberikan daya tarikan serta keseronokan untuk mereka hadir ke sekolah.