Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR tolak surat penangguhan Zuraida, beri hingga 20 Feb hadiri pendengaran

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kasim menolak surat daripada naib presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin yang memohon untuk menangguhkan pendengaran terhadapnya.

Bagaimanapun, dalam kenyataan hari ini, beliau berkata bahawa lembaga disiplin bersetuju memberi tempoh hingga 20 Februari untuk Zuraida menghadiri pendengaran disiplin, selepas mengambil kira tugasnya selaku menteri perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT).

Menurut Ahmad, alasan yang diberikan oleh Zuraida meminta penangguhan pendengaran selepas menerima notis saman daripada Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

“Pihak YB Zuraidah juga memaklumkan kandungan kes yang dirujuk oleh kedua-dua surat peguam ini menyentuh isu yang sama yang Lembaga Disiplin keluarkan.

“Saya juga ingin mengingatkan semula bahawa sebanyak tiga tuduhan disiplin dikenakan kepada YB Zuraidah, manakala kes yang melibatkan saman sivil ini hanyakan satu kes sahaja,” katanya.

Ahmad menambah bahawa terdapat perbezaan yang jelas antara kedua-dua proses itu kerana sebanyak tiga pertuduhan disiplin difailkan terhadap Zuraida sementara hanya satu saman sivil.

“Mesyuarat Lembaga Disiplin yang lalu telah mengambil maklum hasrat ini, berasaskan

sidang akhbar awal yang dibuat oleh Setiausaha Politik YB Zuraidah, namun oleh kerana

kes-kes ini merupakan kes sivil dan bukannya kes jenayah, maka Lembaga Displin

memutuskan sesi pendengaran untuk kes YB Zuraidah akan diteruskan,” katanya.

Minggu lalu, setiausaha politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad berkata bahawa bosnya itu telah memohon cuti daripada Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada jawatannya sebagai naib presiden PKR sehingga Lembaga Disiplin menyelesaikan kesnya.

Pada 18 Januari, Zuraida diberikan surat tunjuk sebab dan diberikan 14 hari untuk menjawab.

Surat itu menyentuh beberapa isu, termasuk ucapannya pada pada majlis makan malam 8 Disember lalu susulan dikatakan tidak puas hati pada Kongres Nasional PKR.

Dalam ucapannya, Zuraida mendakwa bahawa Anwar cuba meyakinkannya bahawa video seks yang didakwa memaparkan timbalan presiden Azmin Ali adalah tulen.

Dia juga mendakwa Anwar memberitahunya bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mahu memecat Azmin dari kedudukannya sebagai menteri hal ehwal ekonomi.

Ketika itu, ahli Parlimen Ampang tersebut berkata dia juga tidak takut dipecat daripada parti berhubung kenyataannya terhadap Anwar, Saifuddin dan beberapa pemimpin lain.