Skip to main
Logo Malaysiakini

Korban bot Rohingya karam mangsa pemerdagangan manusia

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kebanyakan korban bot karam di perairan Bangladesh semalam, yang mengorbankan 15 wanita dan kanak-kanak, merupakan mangsa pemerdagangan manusia yang diseludup masuk ke Malaysia untuk dijadikan pengantin perempuan, lapor agensi berita antarabangsa.

Tujuh puluh daripada kira-kira 130 pelarian yang menaiki pukat tunda sepanjang 13 meter itu terselamat.

Daripada yang terselamat, dua orang yang disyaki adalah suspek pemerdagangan manusia dan disoal siasat oleh pihak berkuasa, lapor BBC Bengali.

Antara pelarian Rohingya yang berada dalam bot tersebut merupakan wanita muda yang akan diseludup ke Malaysia untuk dijadikan pengantin perempuan, kata pegawai polis Cox Bazaar, Masud Hossain.

Pegawai tentera laut yang bertanggungjawab berhubung isu tersebut, SM Zahidul Islam berkata rondaan kapal tentera laut dan pengawal pantai menemui bot pukat tunda yang terbalik berdekatan pulau St Martins dan juga sedang mencari bot yang dipercayai turut dijadikan pemerdagangan pelarian tersebut.

“Kami masih belum menemui sebarang tanda bot yang kedua lagi. Kami akan meneruskan operasi kami,” katanya.

Tambahnya, mereka yang berada di dalam bot tersebut memberitahu penyelamat bahawa mereka membayar sekitar 40,000 rupees (hampir RM2,000) setiap orang kepada sindiket pemerdagangn manusia, bagi perjalanan sepanjang 2,000 kilometer.

Selain itu, jelasnya, mereka juga memberitahu penyelamat bahawa mereka mempunyai saudara-mara di Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama, Organisasi Migrasi Antarabangsa (IOM) dan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menawarkan sokongan terhadap pelarian yang terselamat.

"UNHCR dan IOM sedih dengan kehilangan nyawa yang penuh tragedi ini, dan bersama dengan rakan PBB dan NGO kami yang lain, berganding bahu menawarkan bantuan kepada kerajaan (Bangladesh) berhubung keperluan mereka yang terselamat, sama ada dari segi makanan, tempat tinggal, atau perubatan.”

Dianggarkan satu juta penduduk Rohingya telah cuba meredah lautan untuk tiba ke Malaysia dari kem pelarian yang sesak Cox Bazaar di Bangladesh, lapor Al Jazeera.

Terdahulu, rangkaian berita juga melaporkan tentang wanita dan kanak-kanak perempuan Rohingya diperdagangkan dari kem pelarian untuk dijadikan pengantin kepada lelaki Rohingya yang tinggal di Malaysia.

Sejak tahun lepas, agensi penguatkuasaan Bangladesh telah membawa lebih daripada 500 orang Rohingya ketika mereka sedang menunggu menaiki bot untuk meninggalkan Bangladesh.

Dilaporkan, sekurang-kurangnya tujuh pedagang haram yang disyaki telah ditembak mati pada 2019 dalam pertempuran dengan polis.

Angka pemerdagangan itu meningkat pada November hingga Mac ketika keadaan laut lebih tenang, ia menjadikan perjalanan yang lancar untuk pukat tunda. Pada tahun 2015, kira-kira 25,000 Rohingya meninggalkan Bangladesh dan Myanmar dengan menaiki bot yang cuba melepasi Thailand, Malaysia dan Indonesia. Kebanyakan bot itu karam.