Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya tetap akan hadir pendengaran 25 Feb'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Naib Presiden PKR  Zuraida Kamaruddin menegaskan akan tetap hadir bagi sesi pendengaran lembaga disiplin parti pada 25 Feb ini, dan bukannya sebelum 20 Feb.

Menurutnya, tarikh tersebut sudah dipersetujui lebih awal dan beliau menyatakan rasa hairan dengan surat arahan yang dikeluarkan badan itu, semalam.

"Saya akan hadir pada 25 Feb, seperti mana saya dimaklumkan oleh pegawai itu tarikh yang sudah dipersetujui.

"Saya hairan kenapa keluar kenyataan semalam mengatakan perlu hadir sebelum 20 Feb. Ini saya sedikit tak faham bagaimana pihak pengurusan mereka (lembaga disiplin), mungkin wujud salah faham.

"Sedangkan tarikh itu dah dipersetujui," katanya kepada media ketika hadir di program perasmian Kempen Anti-Litter sempena 'Kempen Jupo Sapoh Kutip Jange Tohok Koksey' di Kota Bhar, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kassim menolak surat Zuraida yang memohon untuk menangguhkan pendengaran terhadapnya.

Bagaimanapun, Ahmad berkata bahawa lembaga disiplin bersetuju memberi tempoh hingga 20 Februari untuk Zuraida menghadiri pendengaran disiplin, selepas mengambil kira tugasnya selaku menteri perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT).

Pada 18 Januari lalu, Zuraida diberikan surat tunjuk sebab dan diberikan 14 hari untuk menjawab.

Surat itu menyentuh beberapa isu, termasuk ucapannya pada pada majlis makan malam 8 Disember lalu susulan dikatakan tidak puas hati pada Kongres Nasional PKR.

Dalam ucapannya, Zuraida mendakwa bahawa Anwar cuba meyakinkannya bahawa video seks yang didakwa memaparkan timbalan presiden Azmin Ali adalah tulen.

Sementara itu, Zuraida berkata, sesi pendengaran itu memberi peluang kepadanya untuk menjelaskan lagi perkara berkaitan.

"Proses lembaga disiplin sepatutnya ada tahap kita memberi penjelasan secara bertulis dan seterusnya tahap perjumpaan untuk kita beri penjelasan.

"Mungkin ada perkara-perkara yang mereka kurang pasti dan faham," katanya.