'Kenapa Johor beli kereta baru ketika rakyat marah cukai tanah naik?'
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim tampil menanyakan kesahihan gambar yang tular di media sosial dengan dakwaan bahawa kerajaan negeri Johor membeli kereta baru.
"Saya selaku ahli parlimen kerajaan PH ingin bertanya kepada Menteri Besar Johor (Dr Sahruddin Jamal) dari parti PH satu soalan.
"Adakah benar seperti yang diviralkan oleh media sosial pembangkang Johor bahawa kerajaan negeri Johor telah membeli kereta-kereta Toyota Camry baru bagi para exco dan menteri besar?" katanya dalam kenyataan media hari ini.
Hassan merujuk gambar yang tular di Facebook Ops Johor menunjukkan beberapa kenderaan dengan plat 'JDT' yang dimuat di atas lori trailer.
Ahli parlimen PKR itu berkata beliau hadir pada taklimat menteri Johor kepada ahli-ahli parlimen Johor dan Adun Johor pada 9 Januari 2020 di Kota Iskandar berkenaan kenaikan cukai tanah di Johor bermula 1 Januari 2020.
Katanya, menteri besar Johor memaklumkan alasan utama cukai tanah dinaikkan adalah kerana kerajaan negeri Johor kekurangan wang untuk pembangunan bagi faedah rakyat.
"Soalan saya adakah munasabah tindakan kerajaan negeri Johor membeli kereta baru untuk menteri besar dan para exconya ketika rakyat masih mengeluh dan marah-marah dengan kenaikan cukai tanah yang sesetengahnya begitu mendadak tinggi naiknya?
"Pembangunan untuk siapa sebenarnya? Duit kutipan cukai tanah dari rakyat itu digunakan untuk apa sebenarnya?" soalnya.
Kenyataan Hassan itu hadir hanya beberapa minggu selepas kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS dikecam susulan pembelian kenderaan mewah untuk keguanaan pemimpinnya.
Sementara itu, sumber kerajaan negeri mengesahkan pembelian kenderaan itu memandangkan keadaan kereta rasmi sedia ada yang “sudah teruk”.
“Rata-rata mileage (jarak pemanduan) hampir mencecah 400,000. Kereta dah sering kali meragam.
“Kes penyelenggaraan sudah tidak lagi efisien, bahkan membebankan,” kata sumber itu.
Ia juga, menurut sumber lagi, dibuat dengan mengambil kira aspek keselamatan exco dan pemandu.
Pada 10 Jan lalu, menteri besar Johor berkata kadar cukai tanah di Johor yang disemak semula dan dikuatkuasakan pada sejak 1 Januari lalu tidak membebankan rakyat dalam golongan berpendapatan rendah (B40).
Jelas Sahruddin Jamal, ia berikutan, kadar cukai tanah yang disemak semula itu tidak membabitkan rumah pangsa jenis murah dan rumah bertingkat sederhana.
“Memang ada sedikit peningkatan terhadap cukai tanah, namun ia tidak membebankan golongan B40," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai