Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemilik Sarana Kencana sebak nafikan syarikat terlibat rasuah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Perbicaraan Ahmad Zahid Hamidi terpaksa ditangguhkan seketika apabila saksi ke-32, Abu Hanifah Noordin tidak dapat menahan sebak ketika mempertahankan syarikatnya yang dikaitkan dengan tuduhan rasuah.

Kejadian itu berlaku ketika Abu Hanifah yang merupakan pemilik Sarana Kencana Sdn Bhd (SKSB) menjawab pemeriksaan balas oleh peguam bela Ahmad Zaidi Zainal yang bertanyakan pandangannya tentang tuduhan bahawa syarikatnya memberikan rasuah kepada Ahmad Zahid untuk mendapatkan kontrak cip polikarbonat pasport Malaysia.

Kontrak pembekalan cip polikarbonat untuk pasport Malaysia itu diberikan kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) yang merupakan anak syarikat Datasonic Group Berhad (DGB).

Selain pemilik SKSB, Abu Hanifah juga merupakan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) dan bekas pemegang saham terbesar Datasonic Group Berhad (DGB), serta pengarah dalam DTSB.

“Kami (DTSB) berbangga dengan apa yang kami lakukan, (menawarkan) harga termurah dan khidmat terbaik, meskipun apa yang diucapkan oleh pegawai kerajaan (dalam perbicaraan semalam).

“Itu adalah khabar angin dan dilemparkan kepada kami oleh pesaing kami. Kami rasa kecewa kerana menteri terpancing oleh berita tak elok ini, sebab itu kami jemput dia (menteri) untuk lihat kualiti kami.

“KDN dan pegawainya sangat defensif terhadap kontraktor-kontraktor yang lama,” katanya ketika mengulas cadangan Ahmad Zaidi bahawa pembekalan cip oleh DTSB berjaya menyelamatkan kerajaan daripada krisis kekurangan pasport.

Ketika inilah, Abu Hanifah dilihat terganggu emosinya, dan tidak dapat meneruskan jawapan, sebelum dilihat beberapa kali menutup mulut dengan sapu tangan.

Satu-satunya syarikat yang mampu

Dalam perbicaraan semalam, bekas timbalan setiausaha bahagian perolehan kerajaan kementerian kewangan (MOF) Dr Uzailee Abdul Latif, berkata KDN pernah menyatakan rasa tidak puas hati terhadap prestasi DTSB kerana kerana sering lewat membekalkan polikarbonat sehingga menyebabkan Jabatan Imigresen (JIM) terputus bekalan sehingga menjejaskan prestasi perkhidmatan.

“Datuk, Datuk ok?” kata Ahmad Zaidi apabila melihat Abu Hanifah tidak dapat mengawal perasannya.

Hal itu menyebabkan Hakim Collin Lawrence Sequerah menangguhkan prosiding seketika, bagi memberikan ruang buat saksi bertenang.

Selepas itu, Abu Hanifah dapat dilihat hanya berdiri dalam kandang saksi buat beberapa ketika sambil mengesat-ngesat matanya dengan sapu tangan.

Setelah persidangan bersambung semula, Abu Hanifah menjelaskan pada masa pemberian kontrak itu pada Disember 2015, hanya DTSB satu-satunya syarikat di Malaysia yang mampu menawarkan khidmat penyediaan pasport dari awal hingga habis, termasuk penyediaan buku, dan cip polikarbonat.

Sebelum itu, kontrak pembekalan pasport teragih antara tiga syarikat, iaitu DTSB sendiri (membekalkan polikarbonat), Iris Corporation (membekalkan cip) dan Percetakan Keselamatan Nasional Sdn Bhd (PKN)(membekalkan buku).

Katanya, kekurangan pasport yang pernah berlaku beberapa tahun dahulu bukanlah disebabkan oleh DTSB, namun mereka seolah-olah disalahkan dalam satu sabotaj yang dakwanya dilakukan oleh pesaing mereka.

“Ia (masalah kekurangan pasport yang dikatakan disebabkan oleh DTSB) tak sepatutnya dibangkitkan setelah begitu lama. Sebab itu saya emosional. Ia sangat tak adil untuk kami,” katanya lagi.

Ahmad Zahid, selaku Menteri Dalam Negeri pada April 2017 dituduh menerima rasuah RM6 juta dalam dua keping cek daripada pengarah DTSB Chew Ben Ben untuk kontrak pembekalan cip pasport Malaysia selama lima tahun atau 12.5 juta cip kepada DTSB.

Selain pengarah DTSB, Chew juga merupakan penasihat kewangan Abu Hanifah, penasihat korporat SKSB, dan pengarah urusan DGB.

Tak tahu cek untuk siapa

Terdahulu, dalam pernyataan saksinya, Abu Hanifah menyatakan tidak tahu bahawa dua keping cek bernilai RM6 juta yang ditandatanganinya adalah untuk diberikan kepada Messrs Lewis & Co, yang dikatakan sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi.

Sebaliknya, katanya dia menyangkakan kedua-dua cek yang ditandanganinya pada 25 April 2017 atas permintaan penasihat kewangannya, Chew Ben Ben, akan diberikan kepada Umno dan BN sebagai sumbangan politik, seperti yang dijelaskan kepadanya oleh Chew.

“Cek tersebut saya kosongkan penamanya kerana Chew Ben Ben telah meminta saya untuk mengosongkan bahagian penama,” katanya berkenaan dua cek bernilai RM1 juta dan RM5 juta setiap satu itu.

“Saya ada membuat semakan kembali dengan Chew Ben Ben dan dia ada memaklumkan kepada saya bahawa cek-cek pembayaran kepada Lewis & Co adalah sebagai sumbangan politik,” tambahnya lagi, dengan menyifatkan segala urusan pembayaran kepada firma guaman itu adalah di luar pengetahuannya dan diuruskan Chew.

Jelas Abu Hanifah, dia menggunakan cek SKSB memandangkan duit itu merupakan duit dividen hasil pelaburannya, namun tidak sempat mengisytiharkannya.

“Sekiranya saya sudah isytiharkan dividen yang saya terima daripada SKSB lebih awal, sudah pasti saya akan menggunakan cek peribadi saya untuk diberikan kepada Chew Ben Ben,” katanya.

Tambahnya lagi, dia dimaklumkan Chew bahawa sumbangan itu adalah untuk Umno dan BN, justeru Abu Hanifah menafikan wang itu merupakan rasuah kepada Ahmad Zahid.

“Sehinggalah siasatan yang dibuat oleh SPRM, barulah saya tahu yang bayaran RM1 juta dan RM5 juta tersebut, telah dibayar kepada Lewis & Co dan bukannya kepada Umno atau BN.

“Saya tidak tahu sama ada Lewis & Co merupakan pemegang amanah Umno dan BN,” katanya lagi.