Mahkamah Rayuan dengar rayuan Lokman pada 5 Mac
Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Mac untuk mendengar rayuan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam untuk mengetepikan kebenaran memulakan prosiding komital yang diperoleh Peguam Negara terhadapnya.
Tarikh berkenaan ditetapkan Timbalan Pendaftar Laila Lateh semasa pengurusan kes.
Hadir semasa pengurusan kes itu ialah Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar yang mewakili pendakwaan manakala peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed bagi pihak Lokman Noor.
Lokman Noor memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 Jan lepas yang menolak permohonannya untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bagi memulakan prosiding komital terhadapnya atas dakwaan mengugut seorang saksi dalam perbicaraan kes berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Yaacob Md Sam mengarahkan kes berkenaan dibawa untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh rayuan selepas pendakwaan dan pembelaan bersetuju tarikh prosiding rayuan lebih awal.
Permohonan Lokman Noor untuk menangguhkan prosiding komital inter parte sementara menunggu rayuannya yang dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan hari ini.
Bagaimanapun, peguam Lokman, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan kepada mahkamah supaya tarikh prosiding rayuan lebih awal ditetapkan daripada mendengar prosiding penangguhan.
Beliau mencadangkan supaya tarikh perbicaraan ditetapkan sebelum 13 Mac memandangkan prosiding penghinaan inter parte di Mahkamah Tinggi ditetapkan pada hari berkenaan serta memohon permohonan itu dibawa kepada pendaftar untuk menetapkan tarikh pendengaran rayuan dan dipersetujui Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.
Pada 22 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor bagi perbuatan menghina mahkamah yang dikatakan dilakukannya dua kali pada 25 Sept lepas.
Dalam permohonan itu, Peguam Negara memohon perintah supaya Lokman Noor dipenjara atau didenda atas perbuatannya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai