Skip to main
Logo Malaysiakini

Import minyak sawit India turun hampir 20% pada Jan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

India mencatatkan penurunan sebanyak 19.8 peratus dalam import minyak sawit pada Januari 2020 berbanding bulan sebelumnya, menyebabkan penguasaan yang lebih tinggi daripada minyak makan yang lain.

Import dari Malaysia merangkumi 125,735 tan minyak sawit mentah (MSM) dan 10,484 tan RBD (minyak sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau) dalam jumlah dagangan minyak sawit sebanyak 594,804 tan, menurut perangkaan daripada kumpulan perdagangan Solvent Extractos’ Association of India (SEA) pada hari Khamis.

Bahagian minyak sawit merangkumi 51 peratus daripada jumlah import minyak makan Januari iaitu sebanyak 1.15 juta tan.

India mengimport 741,490 tan minyak sawit, termasuk 110,562 tan dari Malaysia, pada Disember, yang merupakan 67 peratus daripada keseluruhan import minyak yang boleh dimakan.

Kerajaan India pada 8 Jan meletakkan minyak sawit yang ditapis di bawah senarai barangan yang 'dihadkan', yang mana, ia mewajibkan pengimport untuk mendapatkan permit sebelum membuat pesanan.

Menurut SEA, Direktorat Awam Perdagangan Luar Negara (DGFT) Kementerian Perdagangan India telah mengeluarkan lesen untuk mengimport 88,000 tan olein sawit yang ditapis dari Nepal dengan duti sifar di bawah Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Asia Selatan (Safta).

Nepal tidak menghasilkan minyak sawit tetapi ia membeli daripada pengeluar utama dunia iaitu Indonesia dan Malaysia, ia kemudian menjual produk yang ditapis ke India dengan membuat penambahan nilai seperti yang dituntut oleh peraturan Safta.

- Bernama