Skip to main
Logo Malaysiakini

KSN: Penuhi harapan rakyat mahu k'jaan bersih, cekap, amanah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali menggesa kakitangan awam supaya memberikan perkhidmatan terbaik dalam memenuhi harapan rakyat terhadap kerajaan.

"Perkhidmatan awam merupakan jentera yang menggerakkan proses, merangka, mengolah dan merealisasikan dasar-dasar negara demi kesejahteraan rakyat.

"Harapan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan yang cekap, bersih dan amanah perlu dipenuhi bagi memastikan kepercayaan yang diberi dapat dibalas dengan mutu perkhidmatan yang terbaik," katanya pada suatu hantaran di media sosial yang menjelaskan aspirasinya dalam memimpin perkhidmatan awam.

Menurut Mohd Zuki dalam menjalankan tugas, "penjawat awam perlu berpegang kepada konsep neutraliti dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa."

"Ini penting agar kedaulatan undang-undang (rule of law) dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.

Beliau juga menasihatkan penjawat awam supaya sentiasa membantu memudahkan urusan rakyat.

"Saya menyeru supaya semua penjawat awam menjadi pemudahcara dalam urusan dengan rakyat.

"Berikanlah perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Anggaplah diri anda juga adalah seorang pelanggan," katanya lagi.

Penjawat awam juga, kata Mohd Zuki perlu mengambil kesempatan atas kemajuan teknologi selari dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0

"Penggunaan teknologi akan menjadikan perkhidmatan ini satu perkhidmatan yang pintar seterusnya memeudahkan rakyat berurusan dnegan pelbagai agensi kerajaan secara lancar walau di mana mereka berada," catat hantaran di akaun Facebooknya.

Pada 2 Januari lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menerima kunjungan hormat daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali dan bekas KSN Dr Ismail Bakar.

Dalam pertemuan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, Dr Mahathir turut menyampaikan watikah pelantikan sebagai KSN kepada Mohd Zuki dan menyaksikan penyerahan nota serah tugas daripada Ismail kepada KSN baru itu.

Mohd Zuki, 58, dilantik sebagai KSN ke-15 berkuat kuasa 1 Jan 2020 bagi menggantikan Dr Ismail Bakar yang bercuti sebelum persaraan wajib.

Mohd Zuki yang berkelulusan ijazah sarjana pengurusan perniagaan dari Universiti Nanyang, Singapura, mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam dan berkhidmat selama 28 tahun.

Sebelum pelantikan terkini, Mohd Zuki ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau juga pernah bertugas di Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Persekutuan Sarawak.