Skip to main
Logo Malaysiakini

UNHCR: Makin ramai datang jika beri pelarian lebih hak? Itu tanggapan salah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tidak benar jika ada yang beranggapan bahawa semakin ramai yang mahu mencari suaka di sesebuah negara jika negara itu menyediakan "kehidupan selesa" kepada pelarian, kata wakil Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia, Thomas Albrecht.

"Teorinya ialah jika kita membuatkan pelarian terlalu selesa, bermakna antara lain memberi mereka hak untuk bekerja dan akses kepada pendidikan, lebih ramai yang akan datang.

"Ini benar-benar tanggapan yang salah. Kami telah mengkaji hal ini dan dari apa yang yang kami lihat, ini bukan faktor daya tarik (pull factor), tetapi faktor daya tolak (push factor)," katanya di forum bertajuk Refugees and the Right to Dream yang diadakan di Kuala Lumpur semalam.

Beliau memberikan pelarian Sudan Selatan sebagai contoh, yang meninggalkan negara itu selepas berlakunya konflik pada 2013.

Albrecht berkata, ada di kalangan mereka yang pergi ke negara yang tidak memberikan banyak hak kepada pelarian, sementara ada juga ke negara yang memberi layanan yang lebih baik.

Apabila keadaan semakin tenang di Sudan Selatan, katanya, pelarian yang mula kembali ke tanah air adalah kalangan yang pergi ke negara yang menyediakan hak pelarian yang lebih baik.

"Ini kerana mereka telah mendapat manfaat (di negara itu), keadaan mereka lebih stabil dan mereka boleh mengambil risiko (untuk kembali ke negara asal) dengan cara yang lebih baik," katanya.

Beliau juga menerangkan tiga penyelesaian biasa yang digunakan UNHCR terhadap pelarian, iaitu kepulangan sukarela, integrasi setempat dan penempatan semula.

Kepulangan sukarela adalah untuk pelarian yang mahu pulang apabila tanah air mereka kembali stabil.

Integrasi setempat pula, menurut Abrecht, adalah kompleks yang mempunyai beberapa bentuk - ada kala ia lebih kepada keadaan sementara dan ada pula yang membawa kepada naturalisasi untuk pelarian yang terlibat.

Penempatan semula pula ialah memindahkan pelarian kepada negara yang setuju untuk menerima mereka dan akhirnya memberikan penempatan kekal kepada mereka.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa penempatan semula adalah penyelesaian yang terbatas, memandangkan negara dunia ketiga yang sanggup menerima pelarian telah berkurang beberapa tahun kebelakangan.

Heidy Quah

Sementara itu seorang lagi panel, Pengasas Refuge for Refugees Heidy Quah, berkata rakyat Malaysia cenderung untuk berasa bimbang apabila mendengar perihal pelarian yang berintegrasi dengan masyarakat kerana kurangnya tahap kesedaran.

"Kita dibesarkan (dan diajar) untuk menjaga orang kita sendiri, menjaga diri sendiri dan membina komuniti sendiri. Kita tak benar-benar diajar untuk berkongsi dan terbuka terhadap orang dan budaya lain," katanya lagi.

Menceritakan pengalaman sendiri, Quah berkata ada yang datang ke reruai Refuge for Refugees di kompleks membeli-belah dan bertanya mengapa mereka membantu pelarian.

Katanya, ramai rakyat Malaysia yang datang dari latar belakang kelebihan dan keistimewan, justeru tidak memahami realiti yang dihadapi pelarian.

"...Kita tidak tahu apa maknanya hidup kekurangan, dan tambahan pula pemahaman kita tentang 'kekurangan' amat berbeza dengan apa makna 'kekurangan' bagi komuniti pelarian.

"Kita perlu mula menjadi empatik dan berbincang tentang hal ini di sekolah dan tempat kerja," katanya lagi.