Skip to main
Logo Malaysiakini

Maszlee, Mazlan Bujang kini ketua bahagian Bersatu

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik, kini mengetuai Bersatu Simpang Renggam selepas memenangi pemilihan bahagian itu hari ini.

Perkara itu dimaklum sendiri oleh beliau melalui Twitter sebentar tadi.

"Alhamdulillah. Dengan izin Allah, kemenangan telah berpihak kepada saya," ciapnya.

Bekas pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu juga berjanji untuk menjalankan tugasnya sebagai ketua bahagian sebaik mungkin.

"Terima kasih kepada semua rakan seperjuangan kerana mengundi saya untuk menjadi ketua bahagian Bersatu Simpang Renggam.

"Amanah ini akan saya galas sebaik yang mungkin," katanya lagi.

Maszlee menewaskan pencabarnya dengan kelebihan undi yang selesa iaitu 132 undi. Beliau memperoleh 211 undi, manakala lawannya, Ahmad Ahem, mendapat 79 undi.

Maszlee ialah tokoh akademik yang menyertai politik sepenuh masa selepas meletak jawatan daripada UIA dan bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 pada 2018.

Jadi pengerusi Johor

Memiliki latar belakangnya sebagai pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh di Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIA, beliau memilih Bersatu - sebuah parti serpihan daripada Umno - sebagai wadah politiknya.

Apabila PH membentuk kerajaan, Maszlee dilantik sebagai menteri pendidikan namun melepaskan jawatannya pada 2 Jan lalu lalu hanya selepas 20 bulan memegang jawatan berkenaan.

Katanya, langkah tersebut diambil ekoran nasihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Saya Maszlee Malik memulangkan semula jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa pada 3 Jan 2020," katanya.

Sejak itu Mahathir memangku jawatan menteri pendidikan.

Sementara itu, Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang juga memenangi pemilihan jawatan sama untuk bahagian Tebrau.

Mazlan mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini hari ini berdasarkan kepada keputusan tidak rasmi.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa yang juga bekas exco kerajaan negeri itu menang dalam pertembungan tiga penjuru.

Beliau menewaskan dua pencabarnya yang lain dengan memperoleh 379 undi, manakala dua pencabarnya, Saiful Anuar Yahya mendapat 87 undi dan Norlehan Ariffin mendapat 52 undi.

Pada 30 April tahun lalu Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Mazlan dilantik sebagai pengerusi Bersatu Johor dengan mengambil alih tugas yang sebelum itu disandang presiden parti, Muhyiddin Yassin.