Skip to main
Logo Malaysiakini

Lim: Empangan Mengkuang akan terus berfungsi sebagai empangan strategik

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Empangan Mengkuang akan terus berfungsi sebagai empangan strategik bagi menjamin bekalan air di Pulau Pinang tidak terjejas akibat musim kemarau, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata tujuan pembesaran Empangan Mengkuang adalah bagi membolehkan ia berfungsi sebagai empangan strategik untuk memberi jaminan bahawa bekalan air kepada semua pelabur dan penduduk negeri itu tidak terjejas.

"Semasa saya menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, kita ada buat perancangan untuk mewujudkan satu rizab strategik air dan projek di Empangan Mengkuang ini bukan sahaja memperluas empangan tetapi pada masa yang sama, kita sudah mewartakan kawasan berhampiran sebagai kawasan tadahan air.

"Itu adalah dua daripada tiga langkah yang menyaksikan langkah ketiga adalah untuk membina infrastruktur yang perlu bagi memastikan air cukup bukan sahaja untuk rakyat tetapi untuk pelabur dan juga pedagang di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas melawat Empangan Mengkuang, hari ini.

Lim berkata perancangan itu memberi jaminan kepada semua pihak bahawa Pulau Pinang tidak akan melakukan catuan air meskipun pada musim kemarau.

Lim, yang juga Ahli Parlimen Bagan, berkata air di Empangan Mengkuang telah mencapai kapasiti sebanyak 72 peratus.

"Saya telah difahamkan oleh Jaseni (Maidinsa) bahawa air di empangan ini mampu menampung segala keperluan air di Pulau Pinang sehingga akhir tahun," katanya.

Sementara itu, Jaseni yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, berkata negeri tersebut merupakan satu-satunya yang merancang untuk menyediakan empangan strategik dalam usaha menyimpan air ketika musim hujan bagi kegunaan pada musim kemarau.

Beliau berkata empangan strategik bukan seperti empangan lain, contohnya Empangan Air Itam atau Empangan Teluk Bahang, yang airnya digunakan setiap hari.

"Empangan Mengkuang ini tujuannya adalah menyimpan air dan pada musim kemarau panjang, apabila (paras air di) empangan harian turun, kita masih ada takungan untuk membekalkan air," katanya.

Jaseni turut menyarankan agar Kerajaan Persekutuan membina sebuah empangan strategik di setiap negeri bagi menyimpan air yang terlalu banyak ketika musim hujan dan mengelak pembaziran dengan menyalurkannya ke laut.

- Bernama