Skip to main
Logo Malaysiakini

M'sia mahu perjanjian dengan Vietnam atasi pencerobohan nelayan asing

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Malaysia berhasrat mewujudkan perjanjian dengan kerajaan Vietnam bagi mengatasi masalah pencerobohan nelayan laut dalam dari negara itu di perairan negara, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata perjanjian seumpama itu telah wujud antara kerajaan Malaysia dengan Indonesia, dan ia boleh dilaksanakan dengan Vietnam susulan surat hasrat yang ditandatangani kerajaan Malaysia dan Vietnam pada Ogos lalu sebagai persetujuan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Kita pandang serius kerana akhir-akhir ini semacam ada penambahan jumlah bot nelayan asing dan apabila ada nelayan asing yang ceroboh perairan Pantai Timur negara, majoritinya adalah dari Vietnam.

“Pada tahun lalu sahaja kita telah tahan 141 nelayan Vietnam yang menceroboh, termasuk di dalam Zon Ekonomi Eksklusif.

“Reaksi kerajaan Vietnam positif dan mereka sedar mengenai isu ini. Mereka juga menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama,” katanya kepada pemberita ketika Program Integrasi Nelayan Balok di Pasar Nelayan Balok di Kuantan, yang turut dihadiri Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang Rashima Baharuddin.

Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, berharap isu pencerobohan nelayan asing di negara ini tidak akan berlarutan sehingga aset ketenteraan digunakan bagi menanganinya.

“Memang ada kes di mana apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengejar mereka, mereka keluar dari kawasan perairan negara. Kalau boleh janganlah sehingga jadi seperti itu (melibatkan aset ketenteraan),” katanya.

- Bernama