Skip to main
Logo Malaysiakini

Penduduk dakwa pekerja asing diabaikan, namun dinafikan pemaju

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Gabungan Lindungi Taman Desa mendakwa pekerja asing di tapak projek kondominium yang sebahagiannya runtuh minggu lalu, diabaikan oleh pemaju.

Bagaimanapun, pemaju projek itu menafikan dakwaan berkenaan.

Penyelaras media kumpulan penduduk berkenaan, M Gunasekar mendakwa pekerja tidak diberikan makanan, rawatan perubatan mahupun gaji.

"Sebilangan besar pekerja asing dilihat di tapak projek ini tanpa makanan yang elok dan rawatan perubatan.

"Penduduk Kondo sekitar yang mana pembantu rumah warga asing mereka mengenali pekerja-pekerja itu berkata terdapat beberapa pekerja terperangkap di tapak projek tanpa makanan atau gaji," kata beliau dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau menambah penduduk melancarkan kutipan derma untuk menghulurkan sumbangan makanan dan menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara itu.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Sumber Manusia untuk mendapatkan respon.

Sementara itu, Malay Mail melaporkan pengurus projek, Seymour Chew menafikan dakwaan tersebut.

"Sebenarnya, orang-orang saya, pihak pengurusan masih di tapak ini," katanya.

Ditanya sama ada kebajikan pekerja asing berkenaan dijaga, beliau menjawab: "Sudah tentu, sudah tentu, sudah tentu."

Jumaat lepas, projek kondominium itu runtuh, manakala dua pekerja pembinaan terpaksa diselamatkan selepas terperangkap di bawah runtuhan.

Berikutan itu, arahan pemberhentian kerja telah dikeluarkan.

Sekiranya siap, kondominum yang diberi nama 'The Address' itu akan menempatkan tiga menara dengan 30 tingkat di atas tanah yang dahulunya pernah menjadi tanah rizab Tenaga Nasional Bhd.

Penduduk Taman Desa pernah mengadakan kempen menentang projek itu kerana tanah rizab berkenaan ditetapkan sebagai kawasan hijau di bawah Kuala Lumpur Master Plan 2020.

Bagaimanapun, bantahan mereka tidak diendahkan dan tindakan undang-undang terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  gagal.