Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Jumlah kematian lebih 2,000, Hubei lapor 132 kematian baru

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jumlah kematian di wilayah Hubei, China akibat wabak Covid-19 mencatat peningkatan sebanyak 132 orang kepada jumlah keseluruhan 1,921 kematian pada Selasa, lapor suruhanjaya kesihatan wilayah itu dalam kenyataan di laman webnya pagi ini.

Sebanyak 1,693 kes baru dikenal pasti di wilayah yang merupakan pusat penyebaran wabak koronavirus menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan meningkat kepada 61,682 kes.

Secara global, jumlah kematian sehingga kini adalah 2,005 orang di mana sebanyak 2,000 kematian di China dan satu masing-masing di Filipina, Hong Kong, Taiwan, Japan dan Perancis,

Sebanyak 75,122 kes disahkam positif dengan 12,624 pesakit telah pulih.

Jumlah kes baru pada Selasa merupakan paling rendah sejak 11 Feb.

Kebanyakan kematian baru pada Selasa adalah di Wuhan, yang merupakan ibu kota Hubei, di mana virus itu dipercayai berasal.

Hubei mengamalkan langkah lebih ketat untuk mengenal pasti pesakit yang mengalami demam bagi membantu membendung wabak koronavirus berkenaan, lapor Reuters memetik agensi media kebangsaan pada Selasa.

Sementara itu, Xinhua memetik notis pusat kawalan wabak koronavirus di Hubei bahawa wilayah itu akan menyemak rekod pesakit yang mengalami demam dan melawat doktor sejak 20 Jan, serta individu yang membeli ubat batuk dan demam di farmasi dan pembelian di atas talian.