Skip to main
Logo Malaysiakini

Takut 'terciduk' menyeleweng, ketua kampung bakar pejabat sendiri

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kebakaran yang memusnahkan pejabat seorang ketua kampung awalnya dilihat seperti suatu bencana atau nasib malang, namun siasatan pihak berkuasa mendapati hal yang berlaku adalah sebaliknya.

Menurut dapatan pasukan forensik polis, ada kesan minyak pada tapak bangunan yang menempatkan pelbagai dokumen penting itu.

Ketua Polis Tasikmalaya, Doni Eka Putra, berkata siasatan lanjut kemudian menemukan beberapa petunjuk yang membawa kepada penangkapan ketua kampung itu sendiri.

Katanya, kebakaran yang memusnahkan pejabat Ketua Kampung Neglasari di daerah Jatiwaras itu berlaku kira-kira jam 2.30 pagi pada 18 Jan lalu.

Seperti dipetik Kompas, Doni memberitahu siasatan lanjut menunjukkan dalang yang membakar pejabat itu ialah ketua kampung itu sendiri, Wowon Gunawan, bersama abangnya, Budiman.

Menurut Doni bangunan itu sengaja dibakar dalam usaha memusnahkan pelbagai bahan bukti yang ada ekoran Wowon berdepan dengan siasatan audit pihak berkuasa.

"Idea asalnya datang daripada Budiman sebab adiknya (Wowon) selalu mengeluh takut diperiksa oleh pasukan audit mengenai penggunaan dana desa," katanya.

Sementara itu Ketua Forum Masyarakat Neglasari, Sani Junan Hudaya, memberitahu sebelum ini sudah ada tunjuk perasaan dilakukan penduduk kampung di situ.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu orang ramai mendesak agar Wowon bersikap telus dan menjelaskan bagaimana dia membelanjakan peruntukan yang diterimanya.

"Kami meminta agar laporan perbelanjaan yang digunakan sejak 2016 hingga 2019 dibentangkan kerana banyak projek pembangunan yang meragukan," katanya.

Seorang lagi pegawai kerajaan setempat, Mawardi, memberitahu sebelum kebakaran pada Sabtu lalu, penduduk kampung berkumpul pada 6 dan 8 Jan lalu untuk menyatakan bantahan mereka terhadap cara pengurusan Wowon.

"Tapi protes itu dibuat secara aman dan orang kampung mahu tahu bagaimana wang mereka dibelanjakan," katanya.

Ekoran kebakaran tersebut, semua dokumen berkaitan penduduk setempat dilaporkan hangus.

Doni berkata, kedua-dua suspek kini disiasat dan berdepan hukuman penjara sehingga 12 bulan jika didapati bersalah.