Skip to main
Logo Malaysiakini

Kedudukan Zuraida sebagai ketua Wanita PH dipersoal

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dakwaan wujud cubaan untuk mengetepikan Zuraida Kamaruddin daripada jawatannya sebagai Ketua Wanita PH mewarnai mesyuarat sayap itu ketika pemimpinnya bersidang Isnin lalu.

Perkembangan itu berlaku menjelang mesyuarat Majlis Presiden PH yang dijadual berlangsung esok dan disebut-sebut akan membincangkan proses peralihan jawatan perdana menteri.

Bagaimanapun menurut sumber yang hadir dalam mesyuarat tersebut menadikan perbincangan mereka mengenai hal itu dikaitkan dengan peralihan kuasa yang sedang hangat diperkatakan sekarang.

Untuk rekod, jawatan ketua Wanita PH membolehkan penyandangnya berada dalam majlis presiden, iaitu badan tertinggi untuk gabungan yang membentuk kerajaan sekarang.

Ketua Wanita DAP, Chong Eng, berkata memang ada usaha untuk mengemas kini kepemimpinan sayap terbabit sejak tahun lalu ekoran kemenangan keputusan pemilihan PKR.

Katanya mengikut garis panduan sedia ada, ketua Wanita PH mestilah memegang jawatan ketua wanita bagi salah satu parti komponen gabungan tersebut.

Sebelum ini Zuraida memang mengetuai sayap Wanita PKR namun melepaskan jawatan itu untuk bertanding sebagai naib presiden partinya.

Beliau kini bercuti daripada tugasnya sebagai naib presiden ekoran siasatan yang dijalankan Lembaga Disiplin PKR kerana didakwa membuat kecaman terhadap Anwar

Bersatu bersikap berkecuali

Zuraida berjaya mendapat undi mencukupi bagi meletakkan beliau sebagai salah seorang naib presiden PKR. Bagaimanapun dalam pergolakan dalaman parti ahli parlimen Ampang itu memihak kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, berbanding Anwar.

"Maka ada keperluan untuk membincangkan kedudukan beliau (Zuraida) dalam Wanita PH. Ini ada kaitan dengan keabsahan serta rasional jawatan tersebut.

"Ia bukan bersifat persolan atau mengenai siapa Zuraida kerana prestasinya memang bagus dan berhak menjadi ketua, cuma beliau bukan lagi ketua Wanita PKR, maka ia tidak selaras dengan garis panduan sekarang," kata Chong kepada Malaysiakini.

Chong Eng

Sumber lain pula berkata, Wanita Amanah juga berkongsi pandangan sama, namun dia menegaskan, pendirian itu tiada kaitan dengan isu peralihan kuasa perdana menteri.

Kata sumber itu, usaha membincangkan kedudukan Zuraida dibantah oleh kepemimpinan dari PKR kerana mereka bertegas menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu sepatutnya hadir jika ia mahu dibincangkan.

Zuraida tidak hadir dalam mesyuarat tersebut.

Sumber berkata, Wanita Bersatu dilihat mahu berkecuali dalam isu berkenaan.

Difahamkan ada cubaan untuk membincangkan kedudukan Zuraida pada tahun lalu, selain ketika Wanita PH mengadakan satu-satunya mesyuarat pada suku kedua 2019.

Ketua wanita sertai majlis presiden

Sementara itu seorang sumber dari PKR - dan menjadi penyokong Azmin - berkata mesyuarat baru-baru ini bukan saja mahu membincangkan kedudukan ketua Wanita PH, malah keseluruhan struktur sayap tersebut.

"Ada cubaan untuk menggantung jawatankuasa Wanita PH kerana tiada persetujuan dicapai mengenai siapa yang akan menjadi ketua selepas ini," katanya.

Bagaimanapun kata sumber itu, ia adalah proses biasa ekoran pemilihan parti dan ada barisan kepemimpinan baru mengambil alih.

Usul itu dikatakan dibangkitkan Amanah dan disokong DAP.

Wanita PKR kini diketuai Adun Lembah Jaya, Haniza Talha

Ditanya adakah cadangan berkenaan merupakan cubaan menyekat Zuraida daripada menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH pada Jumaat ini, sumber itu berkata: "Mungkin ya, mungkin tidak."

Malaysiakini sudah menghubungi Zuraida dan kepemimpinan Wanita Amanah untuk mendapatkan reaksi mereka.

Sementara itu, Chong berkata mesyuarat pada Isnin lalu itu bersetuju mencadangkan agar semua ketua wanita parti komponen PH dilantik menganggotai majlis presiden.

 

Semalam Malaysiakini melaporkan, semua enam pemimpin tertinggi parti PH akan bertemu menjelang mesyuarat majlis presiden bagi memperincikan butiran yang akan dibincangkan pada Jumaat ini.

Mereka ialah Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad; Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Tidak ketinggalan, Presiden PH, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebelum ini Mahathir sudah menyatakan beliau akan berundur daripada jawatan perdana menteri selepas berakhirnya sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Kuala Lumpur pada Nov ini.

[Baca berita penuh]